Sukan Asia: Speedy Tigers belum cukup garang

25 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia:  Speedy Tigers belum cukup garang

KEMENANGAN besar 10-0 ke atas Thailand masih belum cukup memuaskan hati ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan yang memberi amaran Speedy Tigers tidak boleh lagi memulakan perlawanan dengan perlahan apabila berdepan Pakistan selepas ini.

Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-18 untuk memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti (PC) Faizal Saari sebelum Muhajir Abdu Rauf dan Azrai Aizad Abu Kamal menambah dua gol dalam tempoh tiga minit.

Aminuddin Zain kemudian menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-28 sebelum Faizal dan Ashran Hamsani masing-masing menemui sasaran pada minit ke-35, disusuli gol kedua Azrai enam minit kemudian.

“Saya fikir kami agak bergelut pada suku pertama dan jelas ia bukan permulaan yang baik. Bagaimanapun, tiga suku berikutnya sangat baik terutama apabila kami mula menemui sasaran,” kata Carolan.

Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook melengkapkan pesta jaringan pada lima minit terakhir untuk memberikan Malaysia kemenangan ketiga berturut-turut selepas turut membelasah Uzbekistan dan Oman masing-masing 7-0.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers sudah mengumpul 24 gol tanpa bolos dalam tiga perlawanan, namun Carolan menegaskan perbezaan jaringan sahaja tidak mencukupi apabila dua aksi penting seterusnya bakal menentukan kedudukan mereka.

“Setiap perlawanan sangat penting. Dalam tiga aksi awal ini, perbezaan jaringan penting untuk meletakkan kami pada kedudukan yang baik, tetapi sekarang kami tahu perlu memenangi dua perlawanan seterusnya untuk memberikan tekanan kepada lawan.

“Saya rasa pemain semakin baik, tetapi kami tidak boleh memulakan suku pertama dengan perlahan seperti hari ini. Kami mempunyai dua hari untuk pulih dan saya fikir pemain akan berada dalam keadaan baik menentang Pakistan,” katanya.

Carolan turut mengenal pasti serangan balas serta pukulan sudut penalti Pakistan sebagai ancaman utama sambil menuntut anak buahnya mengawal bola dengan lebih baik dan memperkemaskan pertahanan situasi bola mati bagi memastikan pelan yang dirancang dapat diterjemahkan pada hari perlawanan.

The post Sukan Asia: Speedy Tigers belum cukup garang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved