Ini 5 Azam Tahun Baharu Yang Boleh Bantu Anda Jadi Lebih Produktif

Health & FitnessLifestyle
29 Dec 2025 • 7:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ini 5 Azam Tahun Baharu Yang Boleh Bantu Anda Jadi Lebih Produktif

Setiap kali tahun baharu menjelang, ramai menganggap ia sebagai titik untuk menutup lembaran lama dan memberi ruang kepada perubahan.

Ramai juga yang mula melihat kembali perjalanan hidup yang telah dilalui. Ada impian yang tercapai dan ada juga perancangan yang tertangguh.

Dalam kehidupan, matlamat dan harapan lah yang membuatkan seseorang teruskan hidup.

Oleh itu, penting untuk kita menetapkan azam untuk meneruskan tahun baharu dengan penuh tujuan.

Kali ini, Sk akan mencadangkan beberapa azam yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan yang lebih teratur, menurut portal Country Living.

1. Jadualkan rehat berkala daripada media sosial

Kajian dalam portal Country Living menunjukkan bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental dan berpotensi menyebabkan ketagihan.

Oleh itu, pertimbangkan untuk menetapkan had penggunaan harian melalui fungsi screen time atau aplikasi lain.

Selain itu, amalkan waktu rehat seperti mengurangkan penggunaan selepas jam 9 malam atau mengambil jeda lebih lama pada hujung minggu dan ketika bercuti.

Lebih baik lagi, tinggalkan telefon anda di luar bilik tidur untuk tempoh tertentu atau ambil cuti sepenuhnya daripada penggunaan telefon.

2. Mulakan rutin senaman baharu

Menurut portal Country Living, aktiviti fizikal tidak semestinya membebankan.

Difahamkan, ia boleh menjadi menyeronokkan jika anda menemui jenis senaman yang sesuai dengan minat dan keupayaan diri.

Dinasihatkan untuk cuba terokai aktiviti seperti berbasikal, pilates atau menyertai kelas kecergasan di gim berhampiran.

Selain itu, rancang jadual senaman berkala melalui video bersama rakan untuk saling mengingatkan dan mengekalkan komitmen.

Jika anda belum biasa bersenam secara konsisten, mulakan dengan latihan yang ringan dan mudah terlebih dahulu sebelum meningkatkan intensitinya secara berperingkat.

3. Kemas dan susun semula almari pakaian anda

Portal Country Living turut menasihatkan untuk tidak perlu menunggu musim pembersihan besar-besaran untuk mula mengurangkan barangan yang tidak diperlukan.

Ambil langkah awal dengan menyusun pakaian di dalam almari dan laci.

Periksa setiap helaian satu demi satu, lalu buang pakaian yang rosak dan asingkan pakaian yang tidak dipakai lebih daripada setahun untuk disumbangkan.

Almari yang lebih teratur pasti memberikan rasa puas, dan selalunya anda akan sedar bahawa anda sebenarnya tidak memerlukan sebanyak mana yang disangka.

4. Pelajari bahasa baharu

Menurut portal Country Living, mempelajari bahasa baharu dapat meningkatkan daya ingatan.

Selain itu, ia juga menjadikan pengalaman melancong ke negara lain lebih menyeronokkan dan mudah.

Kini, terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk mempelajari bahasa asing mengikut masa dan fleksibiliti anda.

5. Beri lebih perhatian kepada simpanan kewangan

Ramai mudah terleka dengan perbelanjaan harian seperti membeli barangan dapur dan membayar bil bulanan sehingga terlupa untuk merancang simpanan dan pelaburan, lapor portal Country Living.

Walaupun kita sedar menangguhkan perkara ini bukanlah satu langkah yang bijak, ia sering berlaku.

Oleh itu, dinasihatkan untuk luangkan masa untuk mengkaji cara yang lebih berkesan dalam mengurus kewangan serta melaburkan wang pada tahun akan datang.

Difahamkan, ia tidaklah sesukar yang disangka.

BACA: Jangan Amalkan, Ini Rupanya 5 Kesan Buruk Makan Lewat Malam

Sumber: Country Living

The post Ini 5 Azam Tahun Baharu Yang Boleh Bantu Anda Jadi Lebih Produktif appeared first on Siakap Keli.