Ini 8 Kategori Premis Di Pulau Pinang Yang Tak Boleh Guna ‘Plastik Sekali Guna’, Hanya Penjaja & Pasar Awam Dibolehkan

LocalEnvironment
14 May 2026 • 6:06 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Ini 8 Kategori Premis Di Pulau Pinang Yang Tak Boleh Guna ‘Plastik Sekali Guna’, Hanya Penjaja & Pasar Awam Dibolehkan

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sekitar dua minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan negeri itu sedang dalam proses menguatkuasakan larangan penuh penggunaan beg plastik sekali guna atau no single-use plastic (NSUP) bermula 1 September depan.

Jelas Chow, penggunaan beg plastik sekali guna akan beralih kepada bahan plastik biodegradasi sebagai pengganti.

Larangan Penuh Hanya Libatkan 8 Kategori Premis, Akan Bertambah Pada Masa Akan Datang

Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo menjelaskan penguatkuasaan larangan penuh penggunaan beg plastik sekali guna yang bermula 1 September hanya melibatkan lapan kategori premis.

Jelas beliau, ini kerana kelapan-lapan premis tersebut telah bersetuju untuk menyertai inisiatif terbabit dan senarai itu akan bertambah pada masa akan datang.

Lapan kategori premis terbabit adalah seperti:

  1. Pasar raya besar
  2. Pasar raya
  3. Gedung serbaneka
  4. Kedai serbaneka
  5. Restoran makanan segera
  6. Kedai serbaneka di stesen minyak
  7. Rangkaian kedai
  8. Farmasi dan klinik

Penjaja & Pasar Awam Masih Boleh Guna Beg Plastik Sekali Guna

Namun, penjaja dan pasar awam dikecualikan dari larangan tersebut setelah mengambil kira kos operasi yang ditanggung khususnya dalam pengendalian bahan basah serta segar dan keperluan beg plastik kalis air untuk barang seperti ikan.

“Kita faham mereka tidak boleh beralih sepenuhnya pada ketika ini kerana kos alternatif masih tinggi dan belum mencapai skala ekonomi. Buat masa sekarang, permintaan masih rendah menyebabkan harga beg alternatif agak mahal.

“Jadi, mereka tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan hingga alternatif yang sesuai dan berpatutan dapat diperkenalkan sebelum pelaksanaan penuh dibuat pada masa akan datang,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Sedang Bekerjasama Dengan Persatuan Pembekal Plastik, Galak Orang Ramai Bawa Beg Sendiri

Tambah Sundarajoo, kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pembekal Beg Plastik untuk memperluas penggunaan plastik yang bersifat mesra alam seperti biokompos dan biodegradasi yang lebih mudah terurai serta bebas mikroplastik.

Pada masa yang sama, kerajaan turut menggalakkan orang ramai membawa beg sendiri semasa membeli-belah.

“Bagi menyokong perubahan tingkah laku serta meningkatkan akses kepada alternatif tersebut, sebanyak 55,000 beg tote guna semula telah diedarkan kepada orang awam di bawah Kempen NSUP setakat ini,” katanya.

Sundrajoo menjelaskan perkara tersebut susulan terdapat salah faham segelintir pihak mengenai penguatkuasaan larangan pengguna beg plastik sekali guna.

Pulau Pinang Negeri Pertama Laksana Program Tiada Beg Plastik Percuma

Untuk info, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik secara percuma kepada pelanggan sejak tahun 2009.

Sebelum ini, program ‘tiada beg plastik percuma’ dilaksanakan pada Isnin hingga Rabu manakala setiap beg plastik akan dikenakan caj RM1 bagi Khamis hingga Jumaat.

Kempen tersebut dilaksanakan sebagai usaha melindungi alam sekitar serta membentuk budaya kelestarian selain menyeru kepada penduduk negeri itu agar mengurangkan sisa plastik dan menyumbang kea rah masa depan lebih bersih dan hijau.

Baca Artikel Berkaitan: Tiada Lagi Penggunaan Beg Plastik Pada Tahun 2025

Baca Artikel Berkaitan: Elakkan Plastik, Guna Mangkuk Tingkat Untuk Tapau Makanan Di Bazar Ramadan & Ketika Hari Raya