Isu REE: ADUN gesa Pulau Pinang pastikan sumber tidak disalah guna untuk senjata

LocalPolitics
11 May 2026 • 1:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu REE: ADUN gesa Pulau Pinang pastikan sumber tidak disalah guna untuk senjata
Ong Ah Teong

 

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa mengambil pendirian yang jelas bagi memastikan unsur nadir bumi (REE) dari negeri ini tidak digunakan untuk tujuan berkaitan senjata.

Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) berkata, sumber semula jadi Malaysia tidak wajar disalurkan untuk peperangan memandangkan negara ini menjunjung prinsip keamanan sejak sekian lama.

“Kita amat bimbang sekiranya REE dari Pulau Pinang disalah guna, ia berpotensi mencetuskan konflik yang tidak dijangka serta membawa implikasi negatif kepada negara, khususnya rakyat yang menghargai keamanan,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang Ke-15 di sini pada Isnin.

Menurutnya, bulan lalu sebanyak 57 kumpulan aktivis di Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan pembekalan REE kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon).

“Mereka menyatakan bantahan terhadap syarikat yang memproses REE di Kuantan yang didakwa memperoleh kontrak untuk membekalkan REE kepada Pentagon,” katanya.

Ujarnya, aktivis alam sekitar dan kumpulan antiperang turut membantah serta melahirkan kebimbangan bahawa REE dari Malaysia berpotensi digunakan untuk tujuan persenjataan.

“Keadaan ini jelas bercanggah dengan dasar Malaysia dan ASEAN yang menjunjung prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri membentangkan laporan terkini berhubung isu REE di Pulau Pinang pada sesi penggulungan nanti.

Dalam perkembangan lain, Ah Teong turut membangkitkan isu kegagalan InvestPenang mengamalkan tadbir urus yang baik seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Katanya, laporan itu mendedahkan kenaikan gaji dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif diluluskan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah.

“Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri turut membangkitkan persoalan mengenai gaji dan bonus syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Hampir kesemua 41 GLC mengemukakan maklumat berkaitan kepada Dewan kecuali InvestPenang yang mendakwa maklumat tersebut tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan (NDA).

“Persoalannya, NDA tidak sama dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Apa yang membezakan InvestPenang dengan GLC lain sehingga boleh mengetepikan semak dan imbang Dewan ini?” soalnya.

Beliau turut mendakwa InvestPenang gagal menyediakan laporan lengkap berkaitan lawatan ke luar negara.

“Untuk makluman Dewan, perbelanjaan InvestPenang bagi misi luar negara melebihi RM500,000 sedangkan agensi itu menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM18.5 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) InvestPenang juga tidak mencerminkan prestasi sebenar aliran pelaburan kerana siasatan Ketua Audit Negara mendapati pencapaian yang dilaporkan sebenarnya diperoleh daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau menuntut penjelasan kerajaan negeri memandangkan tadbir urus InvestPenang didakwa tidak mencerminkan prinsip Kompeten, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan kerajaan negeri.

Ah Teong turut mempersoalkan sama ada masih wajar untuk InvestPenang dikekalkan memandangkan fungsinya bertindih dengan MIDA selain kerajaan negeri masih beroperasi dalam keadaan bajet defisit.