Oppo bakal melancarkan siri mercu Find X10 dan Find X10 Pro Max di Malaysia pada 22 Oktober 2026. Dari segi rekaan, kedua-dua peranti dilihat masih mengekalkan DNA khas jenama Oppo namun terdapat beberapa sentuhan kosmetik baharu yang menyerlahkan identiti terutama pada model Pro Max. Pemilihan warna lembut memberi aura segar sekaligus menjadikan siri ini mudah dikenali.

Dalam sesi media eksklusif, kami berpeluang mencuba sendiri peranti ini dan pengalaman awal memperlihatkan hala tuju baharu yang ingin diketengahkan oleh Oppo. Buat masa ini, hanya aspek kosmetik dapat dikongsikan sebelum pelancaran rasmi berlangsung.
Satu perkara menarik yang diperhatikan ialah strategi Oppo kali ini sedikit berbeza kerana tiada versi Pro ditawarkan. Sebaliknya, mereka terus memperkenalkan Find X10 dan Find X10 Pro Max. Model Pro yang lazimnya menjadi pilihan pertengahan tidak hadir untuk tahun ini.
Walaupun sebabnya tidak dijelaskan, langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan kekeliruan sekali gus memberi fokus kepada dua pilihan yang lebih jelas iaitu satu standard (Find X10) dan satu premium (Find X10 Pro Max). Pendekatan ini juga memudahkan pengguna membuat keputusan tanpa perlu membandingkan terlalu banyak varian.

Keadaan yang sama turut berlaku sewaktu pelancaran di China dengan tambahan satu model iaitu Find X10E. Menariknya, penggunaan nama Pro Max jelas menunjukkan usaha Oppo mengikuti trend semasa memandangkan banyak jenama lain turut menggunakan penamaan tersebut untuk menekankan status premium. Pada pandangan saya, langkah ini adalah cara Oppo untuk kekal relevan serta mudah difahami dalam pasaran yang semakin sarat dengan pelbagai pilihan.

Daripada gambar yang dikongsi, kedua-dua model baharu ini tampil dengan tubuh bersegi serta sisi melengkung yang sama. Dari pandangan hadapan, sukar untuk dibezakan kerana kedua-duanya menggunakan skrin rata dengan satu lubang kamera di bahagian tengah. Namun apabila dilihat dari belakang, perbezaan ketara mula terserlah. Bonggol kamera menjadi elemen paling menonjol yang membezakan Oppo Find X10 dan Find X10 Pro Max, khususnya dari segi bentuk serta fungsi yang dibawakan.

Find X10 hadir dengan modul kamera yang lebih kompak tanpa bonggol kedua di sebelahnya. Walaupun rekaan ini kelihatan ringkas, modul kamera masih agak tebal dan jelas kelihatan apabila diperhatikan dari dekat. Tambahan bulatan kecil di sebelah kanan modul menjadikan panel kamera tampak lebih seimbang meskipun tidak timbul. Bagi saya, pendekatan sebegini memberi keseimbangan antara rekaan dan fungsi sekali gus menjadikannya pilihan yang lebih kemas untuk kegunaan harian.

Berbanding dengan Oppo Find X9, rekaan kali ini pada pandangan saya tidak menunjukkan perubahan besar. Jika Find X9 dahulu cuba membawa sesuatu yang baharu, Find X10 pula seakan kekal pada landasan sama. Setiap elemen kelihatan hampir serupa, seolah-olah Oppo memilih untuk mengekalkan identiti yang sudah dikenali. Bagi saya, ini bukanlah tanda peningkatan atau kematangan tetapi lebih kepada kesinambungan yang selamat tanpa kejutan baharu.

Oppo Find X10 Pro Max hadir dengan bonggol kamera besar berbentuk persegi yang menjadi ciri paling ketara di bahagian belakang. Ketika pertama kali dipegang, modul kamera terasa timbul dan agak berat sehingga perhatian terus tertumpu ke situ. Susunan lensa yang rapat menambah kesan dominan sekali gus menjadikan kamera mudah menarik perhatian serta memberi aura berkuasa pada keseluruhan rekaan.
Berbeza dengan Find X10, versi Pro Max turut menampilkan bonggol kecil tambahan di sisi bersama penjenamaan LUMO Camera System. Bagi saya, elemen ini memberi sedikit kelainan namun secara keseluruhan gaya rekaan masih mengekalkan arah yang sama dengan penekanan jelas terhadap kamera sebagai identiti utama peranti.

Satu perkara yang menarik perhatian saya pada model Find X10 Pro Max ialah pilihan warna Titanium Grey dan Lunar White. Walaupun kedua-duanya ditawarkan dalam model yang sama, perbezaan kosmetik cukup ketara. Lunar White kelihatan lebih elegan dengan tona putih yang memberi kesan premium, manakala Titanium Grey pula menggunakan panel belakang berkemasan pusam yang sudah biasa dilihat pada banyak peranti lain. Pada model ini, bonggol kamera nampak kurang terpisah tetapi masih menampilkan logo “H” sebagai tanda kerjasama dengan sistem kamera Hasselblad.

Sebaliknya, model Lunar White hadir dengan gabungan dua tona putih yang memberi kesan segar dan premium. Penjenamaan OPPO dan Hasselblad dalam warna perak bukan sekadar logo tetapi turut ditulis penuh sekali gus menambah sentuhan kosmetik yang lebih eksklusif. Saya juga perasan dua bonggol pada model ini dipisahkan sepenuhnya tanpa tambahan bonggol lain seperti pada Titanium Grey.
Bonggol kedua di sisi kamera berwarna perak turut memberikan kontras yang lebih jelas dan mudah menarik perhatian berbanding Titanium Grey. Jika diperhatikan dengan teliti, bonggol kamera ini turut dihiasi lingkaran berkemasan jingga yang menyerlahkan lagi warna putih pada peranti.

Pada pandangan awal saya, Oppo cuba mengekalkan identiti rekaan yang sudah dibawa sebelum ini, tetapi dengan perincian yang diolah untuk memberi rasa lebih premium. Buat masa ini, hanya aspek kosmetik dapat dikongsikan tanpa menyentuh spesifikasi secara terperinci.
Seperti diumumkan oleh Oppo, Find X10 hadir dengan dwi-kamera 200MP hasil kerjasama Hasselblad manakala Find X10 Pro Max mempunyai sistem tri-kamera 200MP pertama industri yang merangkumi ultra-lebar, utama dan telefoto. Siri ini turut menawarkan kemampuan videografi yang dipertingkatkan, bateri Silicon-Carbon 8,000mAh serta sistem operasi ColorOS 17 terkini.
Sementara menunggu pelancaran rasmi, kedua-dua peranti ini sudah dibuka untuk pratempahan sehingga 29 Oktober 2026. Pakej pratempahann ini disertakan dengan hadiah menarik bernilai sehingga RM4,771 termasuk rebat tukar beli tambahan, pelan ansuran, perlindungan Oppo Care, baucar aplikasi My Oppo serta keistimewaan Masterclass. Saya akan mengulas peranti ini dengan lebih mendalam dalam artikel ulasan akan datang.




