Seperti yang diumumkan, Oppo Find X10 dipilih sebagai telefon rasmi pelancongan Malaysia sempena kempen Visit Malaysia 2026–2027 melalui inisiatif Rediscovering Malaysia Through the Lens. Oppo turut membuat kejutan dengan memperlihatkan model tersebut sebagai pratonton pada acara berkenaan sebelum pelancaran rasminya

Dua model diperlihatkan iaitu Oppo Find X10 Pro Max dan Oppo Find X10 Pro dengan perbezaan utama pada bahagian kamera. Model Pro Max hadir dalam warna putih dengan dua tekstur berbeza di bahagian belakang serta bonggol kamera yang lebih besar berbanding versi Ultra tahun lalu. Modul kamera turut memperlihatkan penjenamaan baharu Lumo yang diyakini mampu meningkatkan keupayaan rakaman imej agar lebih terang dan jelas.



Sementara itu, model Pro hadir dengan reka bentuk yang hampir menyerupai Oppo Find X9 Pro keluaran tahun lalu. Buat masa ini, tiada maklumat terperinci mengenai spesifikasi didedahkan kerana perkongsian masih terhad dan hanya aspek kosmetik peranti dapat dinilai.



Oppo mengesahkan bahawa peranti dalam siri Find X10 akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada 22 Oktober 2026. Bagi mereka yang ingin menjadi antara pengguna terawal, pra-tempahan boleh dibuat dari 8 hingga 29 Oktober. Setiap pratempahan akan disertakan dengan enam bengkel fotografi percuma bernilai RM1,149 yang dikendalikan oleh jurugambar profesional serta pencipta kandungan.

Bengkel yang dikenali sebagai Oppo Studio Masterclass akan diadakan di kedai Oppo pada setiap hujung minggu bermula 24 Oktober 2026. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari pelbagai teknik fotografi termasuk penggunaan cahaya, perincian, penguasaan warna, potret dan zum sebelum mengasah kreativiti dalam sesi Create. Penyertaan adalah terhad dan ditawarkan mengikut prinsip siapa cepat, dia dapat.





