Minggu hadapan, Apple akhirnya akan mengedarkan kemas kini iOS 18.1 kepada pengguna iPhone. Pengguna iPhone 15 Pro, iPhone 15 Pro Max dan kesemua iPhone 16 akan menerima sokongan Apple Intelligence melalui kemas kini ini. Bagi yang tidak tahu, untuk mengakses Apple Intelligence ada senarai menunggu sama seperti ketika menguji versi beta. Dalam artikel ini akan saya kongsi bagaimana untuk melangkau senarai menunggu ini.

Dalam ujian beta, disebabkan jumlah pengguna versi percubaan adalah lebih kecil berbanding versi stabil – ia dijangka yang Apple Intelligence stabil nanti akan mempunyai senarai menunggu yang lebih lama. Hari ini, iOS 18.1 RC telah diedarkan iaitu versi terakhir kepada pengguna beta yang dikatakan adalah versi sama dengan versi stabil yang akan diedarkan minggu hadapan. Jadi, lakukan pendaftaran Apple Intelligence dari versi ini.

Pertama, buka tetapan iOS anda dan pergi ke bahagian Umum dan pilih Kemas Kini Perisian. Kemudian di dalam Kemas Kini Beta pilih iOS 18 Public Beta. Tunggu seketika untuk ia dimuatkan dan anda boleh terus mula memuat turun dan memasang iOS 18.1 RC dengan saiz 6.98 GB untuk iPhone 16. Selepas selesai, kembali ke tetapan dan pilih Apple Intelligence & Siri. Pastikan bahasa adalah Inggeris (Amerika Syarikat) dan tunggu sekali lagi. Mengikut giliran jumlah pengguna, setakat tiga peranti Apple yang saya uji kesemuanya menerima akses Apple Intelligence selepas 5-10 minit.

Selepas selesai JANGAN LUPA untuk kembali menerima kemas kini stabil, kerana jika tidak anda akan menerima kemas kini Public Beta yang banyak pepijat. Pergi semula ke Umum di dalam tetapan, dan di dalam Kemas Kini Perisian pilih Tak Aktif.

Itu sahaja dan anda akan menerima akses Apple Intelligence secara lebih awal berbanding menunggu kemas kini stabil yang akan diedarkan pada minggu hadapan. iOS 18.1 RC ini biasanya stabil dan mempunyai prestasi penggunaan yang sama dengan versi biasa. Kaedah yang sama turut boleh digunakan pada iPad dengan cip Apple M untuk kemas kini iPadOS 18.1.

