
Ini Kisah Sebalik Sambutan Chap Goh Mei Dan Aktiviti Tradisinya
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan adat istiadat.
Oleh yang demikian, kepelbagaian kaum dan masyarakat di negara ini menjadikan setiap perayaan dan festival disambut dengan penuh kemeriahan.
Bagi masyarakat Cina, biasanya mereka akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina setiap tahun.
Selain dari perayaan tersebut, masyarakat Cina juga menyambut perayaan Chap Goh Mei. Namun, perayaan ini mungkin jarang didengari oleh sebahagian masyarakat.
Justeru, artikel kali ini akan berkongsi dengan lebih lanjut mengenai perayaan Chap Goh Mei.
Apa itu Chap Goh Mei
Chap Goh Mei merupakan istilah dalam dialek Hokkien yang merujuk kepada malam ke-15 Tahun Baharu Cina, juga dikenali sebagai Yuan Xiao Jie atau Pesta Tanglung.
Perayaan ini menandakan hari terakhir sambutan tradisional Tahun Baharu Cina. Pada hari tersebut, hiasan Tahun Baharu biasanya akan diturunkan dan digantikan dengan tanglung merah bagi meraikan bulan purnama pertama dalam tahun baharu lunar.
Asal Usul Chap Goh Mei
Banyak kisah-kisah yang dikaitkan dengan perayaan ini tetapi salah satu legenda popular adalah yang berkisar tentang Maharaja Jed iaitu dewa tertinggi dalam kepercayaan tradisional masyarakat Cina. Diceritakan bahawa selepas burung bangau kesayangannya turun ke bumi dan dibunuh oleh penduduk kampung, Maharaja Jed itu merancang untuk menurunkan ribut api ke atas kampung tersebut pada hari ke-15 tahun lunar.
Bagi mengelak dari kemurkaan maharaja itu, seorang lelaki bijaksana mencadangkan agar penduduk menggantung tanglung merah serta menyalakan mercun supaya kelihatan seolah-olah rumah mereka sudah pun terbakar. Setelah berpuas hati dengan perkara itu, Maharaja Jed membatalkan rancangannya dan meninggalkan kampung tersebut tanpa disentuh bencana.
Sejak itu, masyarakat menyambut hari ke-15 Tahun Baharu Cina dengan menggantung tanglung di jalanan dan menyalakan mercun sebagai simbol memperingati peristiwa tersebut.
Perayaan "Valentine" Masyarakat Cina
Selain itu, ada kisah yang menyatakan gadis-gadis pada zaman dahulu yang belum berkahwin akan menulis nama dan butiran peribadi pada buah limau untuk dihubungi kelak.
Mereka kemudiannya mencampakkannya ke dalam sungai pada sambutan tersebut.
Amalan ini dilakukan dengan kepercayaan bahawa akan ada lelaki yang mengutip limau tersebut dan akan menghubungi mereka.

Jadi, ini dikatakan membuka peluang kepada mereka untuk bertemu jodoh dan berkahwin dengan pasangan yang baik.
Tradisi ini juga bukan sahaja menjadikan Chap Goh Mei sebagai penutupan sambutan Tahun Baharu Cina, malah turut menjadi simbol kepada harapan dan percintaan kepada wanita bujang.
Aktiviti yang dilakukan ketika Chap Goh Mei
Teka-Teki Dalam Tanglung
Semasa perayaan ini, antara aktiviti yang dilakukan ialah permainan teka-teki di dalam tanglung. Teka-teki ini akan ditulis pada kertas dan dilekatkan pada tanglung yang digantung di kawasan perayaan seperti kuil atau jalan utama.

Pengunjung akan cuba meneka jawapan yang biasanya berbentuk peribahasa, simpulan bahasa, nama tokoh atau permainan kata-kata. Sesiapa yang berjaya menjawab dengan betul selalunya akan menerima hadiah kecil sebagai ganjaran.
Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana perayaan, malah melambangkan kecerdikan, kebijaksanaan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Kenali Adat Menitik Mata Singa, Upacara Khas Sebelum Persembahan Tarian Singa
Kenali Urumee Melam, Gendang Khas Iringi Perarakan Thaipusam
Menikmati Tangyuan
Menikmati tangyuan, sejenis bebola pulut yang diisi dengan kacang merah, bijan, atau kacang tanah, merupakan salah satu adat paling penting semasa Festival Tanglung.
Tangyuan biasanya dimakan di rumah atau bersama ahli keluarga. Masyarakat Cina juga percaya bahawa bentuk bulat tangyuan melambangkan keakraban keluarga dan membawa keharmonian, kebahagiaan, serta tuah kepada keluarga pada tahun baru.
Makan Malam Bersama Keluarga
Berbeza dengan sambutan makan malam keluarga pada malam sebelum Tahun Baharu Cina, keluarga yang tinggal di bawah satu bumbung secara tradisinya akan menikmati makan malam bersama pada hari Chap Goh Mei.
Amalan ini dipercayai dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan pada tahun baru serta membawa keharmonian dalam rumah tangga, menjadikan Chap Goh Mei bukan sahaja hari perayaan, tetapi juga simbol penyatuan dan kasih sayang dalam keluarga.
Sembahyang Di Kuil
Bagi menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baharu Cina, ahli keluarga turut mengunjungi kuil untuk berdoa agar tahun yang akan datang berjalan dengan lancar.

Bagi penganut Taoism, mereka akan berdoa kepada Tian Guan yang dipercayai bertanggungjawab membawa tuah dan nasib baik. Menurut kepercayaan, hari kelahirannya jatuh pada hari ke-15 bulan pertama dalam kalendar lunar, sejajar dengan sambutan Chap Goh Mei.


