‘Ini masanya laksana rombakan Kabinet untuk kendurkan gesaan tukar kerajaan’: Penganalisis

Politics
29 Sep 2023 • 9:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Wujud keperluan untuk Kerajaan Perpaduan melaksanakan rombakan Kabinet, jika tidak mahu dilabel pelbagai pihak, khususnya rakyat sebagai ‘kerajaan gagal’.

Pemerhati politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, walaupun prestasi Kerajaan Perpaduan memberansangkan, kajian terperinci perlu dilakukan Perdana Menteri dalam mengenal pasti menteri yang sepatutnya disingkirkan, akibat ditolak rakyat.

image is not available
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan berfikir terlebih dahulu berkait sebarang keperluan untuk melaksanakan rombakan Kabinet. - Gambar Scoop, 29 September, 2023

Malah, katanya, terdapat banyak ruang penambahbaikan perlu dilaksanakan kerajaan Persekutuan untuk terus bergerak ke hadapan.

“Pada pandangan saya, antara menteri yang perlu ditukar adalah Rafizi Ramli, Datuk Seri Tiong King Sing dan V Sivakumar kerana tindakan atau dasar dilaksanakan mereka ketika ini, membuatkan orang marah sehingga mahu Kerajaan Perpaduan ditukar.

“Saya yakin gesaan tukar kerajaan baharu akan dapat dikendurkan atau dihentikan, jika kerajaan bersedia melaksanakan rombakan Kabinet dan menukar menteri tidak perform (tidak melaksanakan peranan dengan baik),” katanya kepada Scoop.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan berfikir terlebih dahulu berkait sebarang keperluan untuk melaksanakan rombakan Kabinet.

Mengulas lanjut, Ashikin berkata, Anwar perlu melakukan perkara itu secara berhemah bagi memastikan keputusan diambil tidak menyentuh perasaan parti komponen yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Apa menjadi kebimbangan, akan ada gerakan daripada parti politik yang tidak bersetuju menyebabkan mereka akan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, walaupun perkara ini adalah perkara normal dalam suasana politik di Malaysia.

“Namun, sudah tiba masa rombakan Kabinet dilaksanakan agar bukan sahaja parti komponen gembira dengan perkara itu, tetapi rakyat seronok susulan bakal mendapat menteri ataupun timbalan menteri yang mampu merasai denyut, kesusahan serta kesukaran kehidupan mereka,” katanya.

image is not available
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub. - Gambar Facebook, 29 September, 2023

Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, calon baharu wajar ditampilkan dan individu tewas ketika pilihan raya perlu ditolak daripada menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, wujud keperluan untuk ahli parlimen yang memegang portfolio Menteri Besar dilantik sebagai menteri, susulan individu terbabit memiliki kredibiliti dalam menjaga negeri masing-masing.

“Perkara ini tidak menjadi kesalahan kerana walau sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, mereka boleh diangkat sebagai menteri. Kita perlu gunakan kelebihan dimiliki mereka dalam menaik taraf hidup rakyat.

“Ini waktunya melakukan rombakan Kabinet segera dan barisan Jemaah Menteri perlu disegarkan dengan muka baharu. Perdana Menteri perlu memikirkan lebih tentang kehidupan rakyat, berbanding beberapa ahli politik dalam parti komponen kerajaannya,” katanya. - 28 September, 2023