
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, meluangkan masanya untuk bertemu barisan pemain dan kejurulatihan skuad B-16 tahun negara, yang kini sedang menjalani persiapan akhir bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras bermula esok.
Pertemuan itu menjadi platform buat Ab Ghani menyampaikan kata-kata semangat, motivasi serta amanat kepada seluruh pemain agar memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan, selain memanfaatkan setiap sesi latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan, kemahiran individu dan persefahaman sebagai sebuah pasukan.
Ab Ghani turut mengingatkan pemain muda negara bahawa peluang menyarung jersi kebangsaan merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh disiplin, kesungguhan serta semangat juang yang tinggi.
“Saya berharap semua pemain mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anda semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa nama dan maruah negara. Berikan komitmen sepenuhnya, berdisiplin dalam latihan dan sentiasa percaya kepada kemampuan diri serta kekuatan pasukan," katanya seperti dilaporkan dalam laman sosial rasmi FAM.
“Ini rumah kita, gunakan kelebihan sebagai tuan rumah. Jangan gentar untuk bersaing dengan mana-mana pasukan. Apa yang penting ialah semangat berpasukan, keberanian, kesungguhan dan keinginan untuk terus belajar serta memperbaiki kelemahan.
“Saya berharap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan berusaha untuk melayakkan diri ke pusingan akhir nanti.”
Jadual penuh Kumpulan E:
Malaysia lwn Palestin
8 November (Ahad)
Malaysia lwn Singapura
14 November (Sabtu)
Malaysia lwn Guam
17 November (Selasa)
Malaysia lwn India
20 November (Jumaat)
*Kesemua perlawanan bermula jam 9.00 malam.






