“Ini Soal Mengenang Budi & Membalas Jasa” – Usahawan Tau Fu Fah Sumbang RM10,000 Ke Tabung Solidariti Najib

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 6:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Ini Soal Mengenang Budi & Membalas Jasa” – Usahawan Tau Fu Fah Sumbang RM10,000 Ke Tabung Solidariti Najib

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Namun, pengampunan tersebut tertakluk sekiranya Najib membayar denda sebanyak RM50 juta dan mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Ekoran itu juga, UMNO telah melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantunya untuk membayar denda berkenaan.

Peniaga Tau Fu Fah Sumbang RM10,000, Mahu Balas Jasa Najib Beri Bantuan

Baru-baru ini, seorang peniaga tau fu fah, Sunny Seow dalam satu hantaran di Facebook mendedahkan telah membuat sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Najib.

Sumbangan itu dibuat sebagai tanda membalas jasa bekas pemimpin negara itu yang pernah menghulurkan bantuan kepadanya sekitar 14 tahun yang lalu.

Jelas Sunny, dia pernah melakukan kesilapan dan dikenakan tahanan terhad di Manjung pada tahun 2009.

“Pada tahun 2012, ketika Datuk Seri Najib hadir ke satu program di Manjung, dengan bantuan Penghulu tempatan, saya menyerahkan sepucuk surat rayuan kepadanya, memohon agar dibenarkan pulang lebih awal untuk menjaga dua orang tua di rumah.

“Tidak lama kemudian, saya menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri bahawa tahanan saya ditamatkan lebih awal.

“Selepas pulang, saya memulakan perniagaan tau fu fah dan memilih untuk kembali ke jalan yang betul. Peluang kedua itu saya tidak pernah lupakan,” kongsinya.

Usahawan Dedah Bukan Orang Berada, Bantu Najib Ikut Kemampuan

Jelas Sunny lagi, dia bukanlah orang yang berada namun sumbangan itu dibuat mengikut kemampuannya untuk membantu Najib pulang.

“Hari ini, apabila beliau juga berharap dapat pulang menjalani baki hukuman, saya mahu membalas bantuan yang pernah saya terima.

“Saya ingin menyumbang RM10,000. Saya bukan orang berada. Setiap mangkuk tau fu fah hanya memberi keuntungan sekitar RM1.

“Jadi, untuk RM10,000, saya perlu jual 10,000 mangkuk tau fu fah.

“Dulu beliau pernah membantu saya pulang. Hari ini, saya cuba membantu beliau dengan kemampuan saya. Ini bukan soal politik. Ini soal mengenang budi dan membalas jasa,” tulisnya lagi.

Menerusi hantaran sama, Sunny turut berkongsi resit transaksi sumbangan yang dibuat.

Jumlah Kutipan Tabung Solidariti Najib Tunjuk Peningkatan Konsisten

Sebelum ini, UMNO mensasarkan kutipan dana sehingga RM30 juta bagi Tabung Solidariti berkenaan sekiranya kesemua 3.8 juta ahli parti itu membuat sumbangan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, jumlah kutipan tabung berkenaan menunjukkan peningkatan yang konsisten dengan tambahan antara RM40,000 sehingga RM50,000 setiap jam.

Malah semalam (21 September), Asyraf menjangkakan jumlah tersebut akan mencecah RM2 juta namun jumlah terkini kutipan dana terbabit masih lagi menjadi tanda tanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved