Usahawan tau fu fah balas jasa Najib sumbang RM10,000

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Usahawan tau fu fah balas jasa Najib sumbang RM10,000
Sunny Seow melalui perkongsian Facebook

SHAH ALAM – Seorang penjual tau fu fah, Sunny Seow menyumbang sebanyak RM10,000 kepada tabung solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda balas budi atas bantuan diterima pada 14 tahun lalu.

**media[3655396]**

Menurut usahawan itu, dia pernah melakukan kesilapan dan dikenakan tahanan terhad di Manjung, Perak pada 2009.

“Pada 2012, ketika Datuk Seri Najib hadir ke satu program di Manjung, dengan bantuan Penghulu tempatan, saya menyerahkan sepucuk surat rayuan kepadanya, memohon agar dibenarkan pulang lebih awal untuk menjaga dua orang tua di rumah.

“Tidak lama kemudian, saya menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa tahanan saya ditamatkan lebih awal.

“Selepas pulang, saya memulakan perniagaan tau fu fah dan memilih untuk kembali ke jalan yang betul. Peluang kedua itu saya tidak pernah lupakan,” katanya yang turut berkongsi resit transaksi sumbangan itu di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu parti berharap seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela.

Mengulas lanjut, Sunny berkata, kini apabila Najib juga berharap dapat pulang menjalani baki hukuman maka dia mahu membalas bantuan yang pernah diterima dahulu.

“Saya bukan orang berada. Setiap mangkuk tau fu fah hanya memberi keuntungan sekitar RM1. Jadi, untuk RM10,000 saya perlu jual 10,000 mangkuk tau fu fah.

“Dulu beliau pernah membantu saya pulang. Hari ini, saya cuba membantu beliau dengan kemampuan saya.

“Ini bukan soal politik. Ini soal mengenang budi dan membalas jasa,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved