
PERMATANG PAUH : Agrobank hari ini memperkenalkan program Halal@Agrobank iaitu satu inisiatif pembangunan usahawan bersepadu bagi menyokong agenda pembangunan industri halal negara khususnya dalam kalangan usahawan agromakanan.
Dipacu oleh enam teras strategik utama, inisiatif itu antara lain merangkumi pendedahan dan kesiapsiagaan halal, pembangunan kapasiti dan keusahawanan, fasilitasi pensijilan dan khidmat nasihat halal, pertumbuhan perniagaan dan pengembangan pasaran, pembangunan ekosistem halal serta transformasi digital dan data pintar.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif Halal@Agrobank juga merupakan langkah strategik bank berkenaan dalam memperluas peranan pembangunannya ke dalam ekosistem halal negara.
Katanya, mengikut laporan Malaysia Halal Export Performance 2021–2025, nilai ekosistem halal global dijangka mencecah antara 9.5 hingga 10.5 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM38.8 hingga RM42.9 trilion menjelang 2030 sekali gus menjadikannya antara ekosistem ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia.
“Ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang besar kepada usahawan agromakanan tempatan untuk meningkatkan daya saing, memenuhi piawaian halal yang ditetapkan serta menembusi pasaran halal yang lebih luas,” katanya.
Terdahulu, inisiatif Halal@Agrobank itu diperkenalkan sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihex) yang disempurnakan peluncurannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Halal@Agrobank juga menyediakan sokongan menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada pembiayaan, malah, turut merangkumi pembangunan kapasiti, bimbingan perniagaan, kesiapsiagaan pensijilan halal serta pengukuhan akses pasaran.
“Melalui pendekatan holistik seperti ini, Agrobank berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan yang membangunkan perniagaan berorientasikan halal, berdaya tahan, inovatif dan mampu bersaing di pasaran tempatan serta antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa masih terdapat tanggapan bahawa sesuatu produk itu mudah dianggap halal hanya kerana ia dihasilkan oleh usahawan Muslim sedangkan pensijilan halal mempunyai proses serta piawaian yang jelas dan memerlukan pematuhan yang konsisten di setiap peringkat operasi perniagaan.
“Keunikan inisiatif Halal@Agrobank sebenarnya terletak pada pendekatannya yang menyeluruh dalam membantu usahawan agromakanan menyertai ekosistem halal secara lebih tersusun.
“Ia merangkumi pembiayaan patuh Syariah, khidmat nasihat dan pensijilan halal, latihan dan pembangunan kompetensi, bimbingan perniagaan, pembangunan produk dan penjenamaan, akses pasaran dan eksport serta pembangunan rangkaian strategik,” jelas beliau.
Tambahnya, inisiatif Halal@Agrobank diwujudkan bagi membantu usahawan memahami keperluan sebenar industri halal dan menyediakan mereka untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari aspek pensijilan, tetapi juga dari segi pembiayaan, produktiviti, penjenamaan dan pengembangan pasaran.-UTUSAN
The post Inisiatif Halal@Agrobank bantu sokong agenda pembangunan industri halal negara appeared first on Utusan Malaysia.






