Inisiatif perkukuh infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik negara

LocalCars
27 Oct 2026 • 11:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Inisiatif perkukuh infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik negara

USAHA memperluas infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia semakin diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan penyedia teknologi antarabangsa bagi menyokong peralihan kepada mobiliti rendah karbon.

Inisiatif itu berpotensi menghubungkan pengeluaran kenderaan, teknologi tenaga baharu dan infrastruktur pengecasan sekali gus memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik negara.

Hal itu turut terlaksana menerusi kerjasama strategik antara Bus Cap Berhad (Bus Cap) dan StarCharge Energy Sdn. Bhd. yang dijangka membuka ruang kepada pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta perkhidmatan berkaitan bagi menyokong peralihan kepada mobiliti rendah karbon di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif Bus Cap Berhad, Bernard Ng Chong Yan, kerjasama selama dua tahun itu dimeterai menerusi Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) di Kuala Lumpur baru-baru ini yang memberi tumpuan pembangunan infrastruktur pengecasan, pemindahan pengetahuan teknikal dan penerokaan peluang pemasangan peralatan secara tempatan.

“Inisiatif tersebut turut merangkumi potensi pemasangan komponen kenderaan secara separa siap atau semi-knocked-down (SKD), penjualan peralatan, pemasangan stesen pengecasan, penyelenggaraan serta pembangunan keupayaan tempatan.

“Walaupun pengendali armada komersial menjadi antara pasaran utama yang disasarkan, kerjasama itu juga berpotensi diperluas kepada pemilik kenderaan persendirian, pengendali stesen pengecasan awam, premis perniagaan dan pembangunan hartanah kediaman serta komersial,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, bagi Bus Cap, kerjasama tersebut menandakan perkembangan baharu dalam usaha syarikat berkenaan beralih daripada pengeluaran badan bas kepada penyediaan ekosistem mobiliti dan tenaga baharu yang lebih menyeluruh.

Kongsinya, peralihan kepada perniagaan mobiliti bersepadu memerlukan pelaksanaan secara berperingkat termasuk pembangunan kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan dan sokongan teknikal.

Image from: Inisiatif perkukuh infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik negara
StarCharge merupakan salah satu syarikat penting berhubung penggunaan tenaga baharu di peringkat antarabangsa
dan Malaysia.

“Penggunaan bas elektrik bukan sekadar melibatkan penggantian kenderaan, malah memerlukan sistem pengecasan yang boleh dipercayai, penyelenggaraan teknikal serta kaedah pengurusan penggunaan elektrik bagi mengawal kos operasi depoh.

“Melalui gabungan keupayaan pembuatan kenderaan, pemasangan pengecasan dan sokongan armada, kami berhasrat memperluas penglibatannya dalam keseluruhan kitaran operasi pengangkutan, selain membangunkan sumber pendapatan berulang menerusi perkhidmatan penyelenggaraan,” ujarnya.

Katanya lagi, StarCharge pula membawa pengalaman antarabangsa dalam pembangunan teknologi pengecasan pintar dan pengurusan tenaga.

Kumpulan syarikat berkenaan beroperasi di lebih 70 negara dan wilayah, dengan sehingga dua juta unit pengecas EV telah dihantar ke pasaran global.

Keupayaannya turut merangkumi sistem penyimpanan tenaga bateri dan teknologi solar fotovoltaik (PV), selain pengalaman menyokong operasi bas elektrik komersial, termasuk armada VinBus di Vietnam.

“Kerjasama itu juga berpotensi menjadi asas kepada penerokaan teknologi tenaga boleh baharu, termasuk integrasi solar, penyimpanan tenaga bateri dan sistem pengurusan tenaga pintar bagi depoh kenderaan komersial.

“Perkembangan tersebut selari dengan usaha memperluas penggunaan pengangkutan awam elektrik di Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Prasarana Malaysia Berhad turut merancang memperkenalkan lebih 1,100 bas elektrik antara 2025 hingga 2030, sebelum mencapai sasaran operasi bas yang sepenuhnya elektrik menjelang 2037.

Sementara itu, cadangan langkah insentif cukai teknologi hijau dalam Belanjawan 2027, termasuk pelanjutan insentif pelaburan berkaitan sehingga 31 Disember 2030, turut menjadi antara faktor yang boleh menyokong perkembangan sektor berkenaan.

Kerjasama dengan StarCharge merupakan langkah susulan kepada memorandum persefahaman Bus Cap bersama BYD Malaysia Sdn. Bhd. pada Ogos 2026 bagi meneroka pembangunan platform kenderaan komersial tenaga baharu secara tempatan.

The post Inisiatif perkukuh infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved