Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) memperluas manfaat teknologi nuklear kepada masyarakat luar bandar menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Pemanok, Batu 31, Machang, Kelantan, dengan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan itu membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Antara projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Machang ialah penambahbaikan sistem saliran, pembaikan laluan dan pembetung serta pelebaran jalan masuk ke tanah perkuburan.
Selain itu, kerjasama dengan Madrasah Haji Ismail turut membabitkan pembaikan pagar tanah perkuburan, pembinaan wakaf, penggerudian sumber air tambahan, pemasangan lampu solar dan penyediaan mercu tanda Kampung Angkat MADANI.

“Kita berharap penambahbaikan sistem saliran dapat membantu mengatasi masalah perparitan, manakala pelebaran laluan ke tanah perkuburan memudahkan akses penduduk.
“Pemasangan lampu solar pula dapat menambah baik pencahayaan dan keselamatan di kawasan kampung, sementara sumber air tambahan diharap dapat membantu memenuhi keperluan penduduk, khususnya ketika musim kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia di Kampung Pemanok, hari ini.
Menurut Muhammad Rawi, pelaksanaan inisiatif berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah menjadi platform memperkenalkan aplikasi teknologi nuklear yang selamat dan memberi manfaat kepada kehidupan seharian.
“Apabila kita menyebut teknologi nuklear, mungkin ada yang menganggapnya sebagai bidang yang kompleks dan jauh daripada kehidupan seharian.
“Sebenarnya, teknologi nuklear telah digunakan secara aman dan selamat dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pertanian, pemprosesan makanan, perindustrian dan penjagaan alam sekitar,” jelasnya.

Dalam sektor pertanian, Nuklear Malaysia telah membangunkan varieti padi baharu yang berpotensi meningkatkan pengeluaran serta mempunyai daya tahan lebih baik terhadap penyakit tanaman dan keadaan persekitaran.
Agensi itu turut menghasilkan produk seperti biobaja Bioliquifert dan oligochitosan bagi membantu meningkatkan kesuburan tanah, penyerapan nutrien serta pertumbuhan tanaman, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap input kimia.
Lebih menarik, penyelidikan terhadap tanaman ubi kayu turut menghasilkan baka baharu yang berpotensi dituai dalam tempoh enam bulan berbanding sekitar 11 hingga 12 bulan bagi varieti tempatan tertentu.
Tempoh tuaian lebih singkat itu berpotensi membantu petani memperoleh hasil dengan lebih cepat, selain memperlihatkan kepentingan penyelidikan teknologi nuklear dalam memperkukuh sektor pertanian negara.
Sempena pelancaran program berkenaan, Nuklear Malaysia turut menganjurkan pameran produk dan perkhidmatan serta aktiviti interaktif berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Aktiviti itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap penggunaan teknologi nuklear dalam pelbagai bidang.
Inisiatif berkenaan juga selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030.
Muhammad Rawi berharap kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat dapat diteruskan supaya projek yang dilaksanakan memberi manfaat berpanjangan kepada penduduk.
Program Kampung Angkat MADANI itu turut memperkukuh pendekatan Nuklear Malaysia dalam mendekatkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada masyarakat menerusi slogan “Nuklear Untuk Rakyat” (N.U.R).




