
PETALING JAYA – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan tradisi penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2026 yang akan berlangsung pada 5 Disember depan di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, LKM 2026 yang bertemakan ‘Luminous Run’ dengan slogan ‘Satu Langkah, Satu Hati’, tampil dengan konsep larian malam sejauh lima kilometer dengan sasaran 2,000 peserta.
Selain itu, YKM turut mengekalkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai duta LKM 2026.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran itu juga menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 di bawah jagaan YKM.
“Jadi, ia bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan, malah bermakna kepada anak-anak di bawah jagaan YKM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain larian yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam, peserta juga berpeluang menikmati mini konsert, senamrobik serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, YKM menawarkan kadar yuran pendaftaran mengikut tiga fasa iaitu super early bird (26 Oktober hingga 4 November) iaitu RM45 bagi peserta individu dan RM35 bagi pelajar, staf serta alumni.
Bagi fasa early bird (5 hingga 16 November 2026) yuran adalah sebanyak RM50 bagi peserta individu dan RM40 bagi pelajar, staf serta alumni.
Untuk harga biasa (17 hingga 28 November 2026) pula, yurannya adalah RM55 bagi peserta individu dan RM50 bagi pelajar, staf serta alumni. – KOSMO! ONLINE
The post YKM teruskan tradisi Larian Keluarga Malaysia Disember depan appeared first on Kosmo Online.






