Inkues Zara Qairina: Sukar untuk tiru tulisan tangan orang lain dengan tepat - Pakar

24 Jun 2026 • 2:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: Sukar untuk tiru tulisan tangan orang lain dengan tepat - Pakar
Pasukan peguam mewakili ibu Zara Qairina bersama saksi ke-74 tiba di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pakar tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion mengakui bahawa sukar bagi seseorang individu untuk meniru tulisan tangan orang lain dengan tepat.

Dalam keterangannya semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini, beliau berkata, emosi atau ‘mood’ seseorang ketika menulis turut boleh mempengaruhi bentuk tulisan tangan.

“Ya, saya setuju. Tetapi saya bukan pakar grafologi untuk menentukan perkara tersebut,” katanya ketika menjawab soalan peguam, Joan Goh mengenai pengaruh emosi terhadap tulisan tangan.

Dr Linthini, 34, yang merupakan saksi ke-74 turut merujuk laporan forensik I-269 yang menyatakan bahawa tiada dua individu boleh menghasilkan tulisan yang benar-benar sama atau identikal.

Menurutnya, analisis dibuat berdasarkan perbandingan beberapa sampel tulisan tangan daripada individu berbeza termasuk rakan sebilik Allahyarham Zara Qairina.

"Walaupun pada pandangan kasar tulisan mereka mungkin kelihatan serupa, namun melalui siasatan terperinci saya mendapati terdapat banyak penyimpangan daripada tulisan tangan Cik Zara," katanya.

Beliau menambah, daripada sembilan sampel tulisan tangan yang dianalisis, kesemuanya menunjukkan perbezaan yang ketara antara satu sama lain, sekali gus mengukuhkan dapatan bahawa setiap individu mempunyai ciri tulisan yang unik.

"Jadi itu membuktikan penulis A dan penulis B tidak boleh menulis dengan cara yang benar-benar sama," jelasnya.

Dalam sesi sama, Joan mencadangkan bahawa walaupun seseorang cuba meniru tulisan tangan individu lain, ia tetap sukar untuk dilakukan secara konsisten.

Dr Linthini menjelaskan bahawa kesukaran itu berpunca daripada beberapa faktor teknikal seperti kelajuan penulisan, tekanan pen dan tahap kemahiran individu.

"Saya tidak akan katakan ia mustahil, tetapi saya lebih suka katakan ia sukar kerana kelajuan penulisan, tekanan pen, dan tahap kemahiran semuanya berbeza. 

"Ini kerana meniru adalah satu perbuatan sedar, bukannya perbuatan separa sedar," katanya.

Beliau turut bersetuju bahawa kesukaran itu menjadi lebih ketara apabila peniruan dilakukan dalam jumlah muka surat yang banyak.

"Ya, pada tahap tertentu saya setuju. Sangat sukar untuk meniru tulisan tangan orang lain terutamanya apabila ia melibatkan kuantiti muka surat yang besar," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved