Jurnal Zara mungkin diganggu: Pakar

24 Jun 2026 • 4:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Jurnal Zara mungkin diganggu: Pakar

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu kebanyakan jurnal dan catatan tulisan tangan yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan ditulis olehnya namun beberapa catatan dipercayai ditulis oleh individu lain dan kemungkinan berlakunya gangguan terhadap sebahagian dokumen tidak dapat diketepikan.

Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah Dr Linthini Gannetion berkata hasil pemeriksaannya mendapati dokumen yang ditandakan sebagai W1 dan sebahagian besar W2 ditulis oleh Zara berdasarkan perbandingan dengan sampel tulisan tangannya yang diketahui antara tahun 2023 hingga 2025.

Bagaimanapun beliau berkata W2 bukan digunakan secara eksklusif sebagai jurnal peribadi Zara kerana beberapa halaman mengandungi tulisan individu lain bersama catatan Zara menunjukkan kemungkinan orang lain turut mempunyai akses kepada jurnal tersebut.

Dr Linthini yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemeriksaan Dokumen Forensik berkata analisisnya melibatkan dokumen W1, W2, W3, Y1 hingga Y15, sampel tulisan tangan Zara serta sampel tulisan individu lain yang dikenal pasti sebagai Penulis A hingga J.

Saksi ke-74 itu membacakan kenyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan turut dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur pengubahan atau campur tangan tanpa kebenaran terhadap kandungan dokumen Y1 hingga Y15.

“Berdasarkan pemerhatian saya kewujudan halaman yang telah dikeluarkan, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, tulisan yang dipadamkan serta perbezaan corak tarikh pada beberapa halaman menunjukkan unsur gangguan dalam Y1 hingga Y15 tidak dapat diketepikan secara muktamad,” katanya.

Menurut beliau pemeriksaan menggunakan pencahayaan serong (oblique lighting) turut mendedahkan kesan lekukan tulisan pada beberapa halaman yang tidak sepadan dengan tulisan pada halaman sebelumnya.

“Ini menunjukkan kemungkinan halaman asal yang menghasilkan kesan lekukan tersebut telah dikeluarkan,” katanya.

Dr Linthini menjelaskan kaedah pencahayaan serong hanyalah kaedah awal dan pemeriksaan yang lebih tepat terhadap kesan lekukan tulisan boleh dilakukan menggunakan peralatan Electrostatic Detection Apparatus (ESDA).

Bagaimanapun pemeriksaan ESDA tidak dapat dijalankan kerana bahan bukti tidak dapat dibawa ke makmal.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan jurnal yang diperiksa, Zara lazimnya tidak mencatat tarikh secara konsisten dalam penulisannya.

“Namun dalam set dokumen Y1 hingga Y15, hampir semua halaman mempunyai tarikh kecuali Y8B dan Y13B. Keadaan ini tidak selari dengan tabiat penulisan jurnal Zara berdasarkan bahan yang tersedia,” katanya.

Dr Linthini juga mengesan penggunaan pen yang berbeza pada beberapa bahagian termasuk Y10B yang menunjukkan kemungkinan maklumat tertentu ditambah pada masa berlainan.

Menurutnya pada dokumen Y4B, huruf “hallenge” dalam perkataan “challenge” ditulis menggunakan pensel manakala bahagian lain ditulis menggunakan pen.

Beliau turut mendapati huruf “tauddin” dalam nama “Retauddin” dipercayai ditambah kemudian menggunakan pen yang berbeza.

Bagi dokumen Y13A pula beliau mengesan tulisan yang dipadamkan termasuk perkataan “Jala imut” dan dua baris ayat yang menyebut nama “Alysha”.

“Frasa ‘Jala imut’ tidak mempunyai ciri tulisan tangan yang konsisten dengan tulisan Zara dan menunjukkan ia ditulis oleh individu lain,” katanya.

Dr Linthini berkata beliau tidak dapat membuat kesimpulan mengenai penulis sebenar bagi dokumen Y1A, Y1B, Y2A, Y2B, Y3A, Y3B, Y4A, Y4B, Y5A, Y5B, Y6A, Y6B, Y7A, Y7B, Y8A, Y9A, Y9B dan Y10A kerana ketiadaan sampel tulisan tangan yang sezaman untuk tujuan perbandingan.

Menurutnya sebahagian sampel tulisan yang tersedia merupakan tulisan formal seperti dalam buku latihan sekolah dan bukannya penulisan tidak formal berbentuk jurnal sekali gus mengehadkan proses perbandingan yang lebih ideal.

Bagaimanapun tulisan pada dokumen Y10B, Y11A, Y11B, Y12A, Y12B, Y13A, Y13B, Y14A, Y14B, Y15A dan Y15B menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara antara Februari hingga pertengahan April 2025.

Sehubungan itu beliau berpendapat catatan pada halaman-halaman tersebut ditulis oleh Zara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved