Inkues Zara Qairina: Ahli keluarga lazim alami penafian apabila kematian tidak dijangka - Pakar

LocalHealth & Fitness
22 May 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: Ahli keluarga lazim alami penafian apabila kematian tidak dijangka - Pakar
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU - Pakar psikiatri forensik memaklumkan bahawa ahli keluarga biasanya akan mengalami kejutan, penafian atau sukar mempercayai apabila dimaklumkan mengenai kematian akibat menamatkan riwayat sendiri, terutama apabila si mati kelihatan normal sebelum kejadian.

Dr Chua Sze Hung, 43, yang merupakan saksi ke-67 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberikan pendapatnya ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat.

“Setuju. Kerana ahli keluarga tidak menyedari perjuangan dalaman atau pemikiran bunuh diri tersebut, mereka mungkin benar-benar sukar untuk menerima kenyataan itu.

“Penafian ini biasanya berlaku terutamanya jika si mati kelihatan normal atau gembira sebelum kematian. Namun, kesukaran keluarga untuk menerima perkara ini tidak dengan sendirinya menafikan dapatan forensik atau psikologi yang konsisten dengan menamatkan riwayat sendiri,” jelasnya.

Dalam prosiding sama, Dr Sze Hung turut ditanya sama ada tanpa konfrontasi di sebuah dorm, terdapat kemungkinan si mati tetap akan mengambil tindakan menamatkan riwayatnya sendiri disebabkan faktor pencetus lain.

“Saya tidak bersetuju. Saya tidak menemui sebarang pencetus atau faktor lain yang menggugat kestabilan pada malam atau pagi tersebut selain daripada isu di dorm berkenaan.

“Peguam kemudian mencadangkan bahawa si mati mempunyai faktor risiko sedia ada sebelum kejadian konfrontasi tersebut.

“Ya, si mati mempunyai pelbagai faktor risiko sedia ada, tetapi ia tidak mencukupi untuk kejadian menamatkan riwayat diri berlaku tanpa faktor pencetus langsung iaitu soal siasat di dalam dorm.

“Selepas soal siasat itu, si mati dilihat menangis teresak-esak dalam keadaan yang rakan-rakannya tidak pernah lihat sebelum ini. Dia jelas dalam tekanan yang amat sangat. Faktor yang paling hampir dan langsung dikenal pasti pada ketika ini ialah konfrontasi di dorm tersebut.

“Berada dalam keadaan terasing secara fizikal dan psikologi, individu yang mempunyai masalah kawalan emosi akan terlibat dalam strategi emosi termasuk rumination yang mewujudkan rasa tiada alternatif dan tidak dapat melarikan diri (inescapability), yang membawa kepada tindakan menamatkan riwayat sendiri. Saya tidak melihat faktor lain dalam tempoh masa tersebut selain daripada soal siasat itu,” katanya.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa jarak masa antara konfrontasi dan penemuan si mati adalah sekitar tiga hingga empat jam.

“Jika saya ingat dengan betul, konfrontasi tamat selepas mereka kembali ke asrama iaitu selepas jam 9 malam dan sebelum 12 tengah malam. Si mati ditemui kira-kira jam 3 pagi. Jadi anggarannya dalam tiga hingga empat jam.

“Mengikut garis masa, si mati tidak menamatkan riwayat serta-merta selepas konfrontasi di dorm berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Fikry bersama rakan sepasukannya, Azhier Farhan Arisin dan Sylvester Kuan merupakan peguam yang mewakili empat pelajar dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.