Inkues Zara Qairina bersambung Jun depan

22 May 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina bersambung Jun depan
Prosiding inkues kematian Zara Qairina akan bersambung pada 22 hingga 26 Jun depan dengan melibatkan saksi baharu termasuk kakak tiri dan pakar tulisan tangan.

KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir ditangguhkan dan akan disambung semula pada 22 hingga 26 Jun depan dengan melibatkan beberapa saksi termasuk pakar serta ahli keluarga remaja itu.

Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan perkara itu sebelum prosiding di Mahkamah Koroner di sini ditangguhkan pada Jumaat.

Peguam Joan Goh berkata, setakat ini tiada tarikh tambahan lain ditetapkan mahkamah, namun prosiding seterusnya yang akan datang dijangka melibatkan kakak tiri Zara Qairina.

"Prosiding seterusnya akan melibatkan kakak tiri Allahyarham Zara dan juga pakar tulisan tangan daripada pihak ibu. Kami mempunyai banyak soalan untuk saksi-saksi yang akan datang pada sesi hadapan," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu di sini.

Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh berharap inkues berkenaan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

"Pasukan saya amat berharap agar ibu Zara Qairina dapat memberikan keterangan terlebih dahulu sebelum saksi-saksi lain kerana persoalan utama terletak pada keterangannya.

"Saya percaya kebenaran akan muncul daripada keterangan ibu itu nanti. Saya tidak mahu mengulas terlalu banyak buat masa ini, tetapi saya rasa kita semua sedang menunggu ibu untuk memberikan keterangan," katanya.

Joan dan Ram bersama Prem Elmer Ganasan merupakan peguam yang mewakili pelajar A dalam kes berkaitan kematian remaja tersebut.

Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.