Inkues Zara Qairina dijangka hingga hujung tahun - Peguam

31 Mar 2026 • 8:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ram ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner di sini, dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun ini.

Peguam, Datuk Ram Singh berkata, jangkaan itu dibuat berikutan masih ramai saksi yang akan dipanggil, termasuk saksi pakar dalam prosiding yang dijadualkan berlangsung pada April ini.

"Pada Khamis nanti dijangka pakar psikiatri, Dr Chua Sze Huang dari Hospital Mesra Bukit Padang yang akan memberi keterangan. Manakala pada 13 hingga 17 April, seorang lagi pakar patologi forensik, Dr Phupinder Singh dari Pulau Pinang akan dipanggil bagi membantu inkues ini.

"Setakat ini, saksi kanak-kanak ini adalah saksi ke-65. Dengan perkembangan semasa dan kemungkinan penambahan saksi oleh pihak keluarga, inkues ini mungkin tidak selesai dalam masa terdekat, mungkin sehingga hujung tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir prosiding inkues di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Selasa.

Ram bersama rakan sepasukannya, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan adalah peguam yang mewakili pelajar A, iaitu antara lima remaja yang dikaitkan dalam kes tersebut.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai tahun lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri tepi longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.