Dua lagi doktor pakar beri keterangan, peguam ibu Zara Qairina teliti laporan psikiatri 84 muka surat

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 7:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahlan bersama pasukan peguamnya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir seterusnya dijangka memberi tumpuan kepada keterangan dua saksi melibatkan doktor pakar yang dijadualkan memberi keterangan dalam sesi berlangsung pada April ini.

Peguam, Shahlan Jufri berkata, prosiding akan bersambung semula pada Rabu dengan dua saksi iaitu saksi kanak-kanak yang akan menyambung keterangannya pada sesi pagi, diikuti ibunya manakala seterusnya disusuli dua doktor pakar.

"Pada awal Mac, kami sudah menerima laporan daripada pakar psikiatri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk laporan daripada Dr Chua Sze Huang dari Hospital Mesra Bukit Padang yang dijangka memberi keterangan pada hari Khamis ini.

"Cuma, kami memohon sedikit masa untuk menyoal doktor berkenaan kerana laporan tersebut mengandungi 84 muka surat dan perlu diteliti terlebih dahulu," katanya ketika sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Barisan peguam terdiri daripada Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, sebelum itu menghadiri prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini.

Menurut Shahlan lagi, pihaknya juga perlu berbincang dengan pakar masing-masing sebelum sesi soal balas dijalankan, yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat selepas keterangan diberikan.

Tambah beliau, seorang lagi saksi pakar iaitu pakar patologi, Dr Phupinder Singh yang dipanggil oleh pasukan Datuk Ram Singh, dijadualkan memberi keterangan pada prosiding seterusnya bermula 13 hingga 17 April.

Diminta mengulas lanjut mengenai laporan setebal 84 muka surat itu, beliau memaklumkan ia merupakan laporan yang disediakan oleh pakar psikiatri berkenaan.

"Mengenai keadaan Zara selepas temu bual bersama ibu dan bapanya serta beberapa individu lain.

"Laporan ini telah disediakan dan kami terima pada bulan Mac, jadi kami memerlukan sedikit masa untuk menelitinya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahlan berkata, pihaknya turut memohon untuk memanggil beberapa lagi saksi baharu susulan pendedahan daripada saksi kanak-kanak yang tampil memberi keterangan sebelum ini.

"Kami memohon untuk memanggil beberapa lagi saksi, khususnya individu yang disebut oleh saksi kanak-kanak tersebut termasuk pembantu perubatan yang merupakan orang pertama memberi rawatan di sekolah selepas mangsa ditemui," jelasnya.

Dalam inkues tersebut, turut hadir ialah barisan peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Turut terlibat dalam prosiding itu ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A, selain Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan yang mewakili empat lagi pelajar.

Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah bin Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.