KOTA KINABALU - Saksi kanak-kanak yang tampil memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendakwa dirinya antara individu terakhir yang bertemu pelajar itu sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu.
Peguam, Joan Goh berkata, saksi ke-65 itu baru tampil sekitar Ramadan lalu dan disifatkan sebagai individu paling hampir dengan kejadian yang menimpa Zara Qairina.
"Saksi menyatakan dia melihat Zara Qairina keluar dari tandas sebelum berjalan mundar-mandir berhampiran kawasan itu. Dia kemudian bertanya kepada Zara Qiarina dan ketika itu mangsa dalam keadaan menangis.
"Zara Qairina memaklumkan kepadanya, 'saya mahu terjun'. Saksi kemudian menasihatinya dengan mengatakan jika terjun, adakah itu akan membolehkannya masuk syurga?
"Selepas itu, dia membawa Zara Qairina kembali ke dorm dan melihat mangsa masuk serta menutup pintu sebelum dia kembali ke dormnya di Blok B," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Selasa.
Joan berkata, ketika siasatan awal dijalankan, saksi tersebut mendakwa pernah memberikan keterangan kepada seorang pegawai polis, namun keterangannya tidak direkodkan pada ketika itu.
"Menurut saksi, ketika itu dia ada memberikan maklumat kepada seorang pegawai polis wanita, namun berlaku situasi yang menyebabkan dia berasa tertekan. Dia kemudian ditenangkan oleh seorang pegawai polis lelaki, tetapi keterangannya tidak direkodkan.
"Saksi juga menyatakan dia berasa takut dan tidak dapat mengenal pasti pegawai yang terlibat. Malah, setiap kali perkara ini dibangkitkan bersama ibunya, dia meminta supaya tidak dimaklumkan kepada orang lain kerana berasa bimbang," katanya.
Menurutnya, saksi hanya tampil berkongsi perkara itu baru-baru ini selepas memberanikan diri memaklumkan kepada seorang guru di sekolah berkenaan, sebelum pihak sekolah menghubungi polis.
"Kami hanya menerima kenyataan saksi ini dua atau tiga hari lalu," jelasnya.
Sehubungan itu, Joan berkata, bagi pihaknya, saksi berkenaan sangat hampir dengan kejadian kerana merupakan antara individu terakhir yang melihat mangsa.
"Ibunya juga akan memberi keterangan bagi mengesahkan cerita tersebut," katanya.
Sementara itu, Datuk Ram Singh turut menyifatkan saksi berkenaan sebagai jujur dan berani kerana tampil membantu prosiding inkues.
"Berdasarkan keterangannya, dia berada di tingkat dua sebelum melihat seseorang di koridor tingkat tiga. Dia kemudian naik ke tingkat tiga dan di situlah dia bertemu Zara serta dapat mengecam pakaian Zara Qairina.
"Mereka berbual kira-kira 10 minit sebelum dia kembali ke dorm sekitar jam 2 pagi. Keesokan harinya, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya.
Menurutnya, keterangan itu amat penting kerana saksi berkenaan antara individu terakhir yang melihat mangsa.
"Pada saya, keterangannya sangat meyakinkan. Ketika memberi keterangan dalam inkues, dia tidak dapat menahan emosi dan menangis.
"Jadi apa sahaja berkaitan Zara Qairian, dia ingat dengan jelas. Mungkin kerana dia antara individu terakhir yang bersama mangsa, maka itu sesuatu yang dijangka," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum sempat menyoal saksi berkenaan dan akan berbuat demikian dalam prosiding yang disambung pada Rabu.
"Apa yang dinyatakan saksi mengenai ‘Zara Qairina mahu terjun’ bukan pendapat kami, tetapi berdasarkan apa yang disebut sendiri oleh mangsa seperti direkodkan dalam keterangannya.
"Saksi juga memaklumkan ketika dia mendekati Zara Qairina, wajah mangsa kemerahan dan dalam keadaan menangis teresak-esak, seolah-olah berlaku sesuatu sebelum itu," katanya.
Tambah beliau, saksi turut memberitahu bahawa beberapa hari sebelum kejadian, sikap Zara Qairina dilihat berbeza, kurang mesra, tidak banyak bercakap dan senyumannya kelihatan hambar.
Katanya, sekitar jam 1 hingga 2 pagi juga merupakan kebiasaan bagi pelajar untuk masih berjaga di asrama.
"Pada malam kejadian, saksi dari Blok B berjalan ke Blok A untuk bertemu rakannya kerana teringat janji yang belum ditunaikan.
"Namun apabila sampai, rakannya sudah tidur. Ketika itu dia ternampak kelibat di tingkat atas sebelum naik dan bertemu Zara Qairina," katanya.
Menurutnya, walaupun tidak terlalu rapat, mereka ada berinteraksi dan kadang-kadang berbual termasuk berkongsi cerita di surau.
"Mengenai hal keluarga, saksi menyatakan Zara Qairina agak enggan berkongsi dan tidak mahu bercakap lanjut apabila ditanya.
"Secara keseluruhan, saksi ini boleh dianggap sebagai saksi yang baik, jujur, boleh dipercayai dan berani tampil memberikan keterangan penting yang menjadi pendedahan baharu dalam inkues ini," katanya.
Ram dan Joan merupakan peguam yang mewakili pelajar A iaitu antara lima remaja yang didakwa dalam kes dikaitkan dengan kematian Zara Qairina.
Hadir sama dalam inkues tersebut ialah barisan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Barisan yang mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim pula ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Sementara itu, pasukan peguam terdiri daripada Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan mewakili empat lagi pelajar lain.
Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah bin Amir Hassan.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


