Inkues Zara Qairina: Ibu nafi tenang, dakwa menangis sepanjang perjalanan ke hospital

12 Oct 2026 • 4:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: Ibu nafi tenang, dakwa menangis sepanjang perjalanan ke hospital
Noraidah ketika hadir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi prosiding inkues kematian anaknya, Zara Qairina.

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyangkal dakwaan bahawa beliau berada dalam keadaan biasa dan tenang ketika dalam perjalanan ke hospital pada pagi 16 Julai 2025.

Sebaliknya, Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 dalam inkues kematian anaknya berkata, dia berada dalam ketakutan dan menangis sepanjang perjalanan ke Kota Kinabalu ketika itu.

"Saya tidak tenang waktu itu, saya sedih kerana saya ke Kota Kinabalu seorang diri dalam keadaan hujan dan saya memang berada dalam ketakutan.

"Boleh dikatakan sepanjang perjalanan itu saya menangis," katanya ketika menjawab pertanyaan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Amir Shah meminta Noraidah menjelaskan mengenai dakwaan bahawa beliau berada dalam keadaan biasa dan tenang ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya.

Bagaimanapun, Noraidah terlebih dahulu meminta penjelasan mengenai individu yang membuat dakwaan berkenaan sebelum Koroner memaklumkan bahawa perkara itu dinyatakan oleh ibu pelajar A dalam kenyataan saksinya.

"Macam mana dia boleh menilai saya biasa dan tenang sedangkan saya tidak bertemu dengan dia?

"Dia hanya ada WhatsApp saya sahaja," katanya.

Koroner kemudian merujuk kepada keterangan ibu pelajar tersebut yang menyatakan bahawa beliau berhubung dengan Noraidah melalui telefon hampir setiap jam pada hari kejadian.

Namun, Noraidah sekali lagi menyangkal keterangan itu dan menegaskan bahawa komunikasi antara mereka bukan berlaku sekerap yang dinyatakan.

Dalam prosiding sama, Koroner turut meminta pandangan Noraidah sebagai seorang ibu dan sahabat kepada Allahyarham mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada Zara Qairina pada malam 15 Julai 2025, meskipun beliau tidak berada di tempat kejadian.

"Saya masih lagi menunggu laporan rasmi daripada siasatan polis," jawabnya.

Amir Shah seterusnya bertanya berdasarkan naluri keibuan Noraidah mengenai sebab kes kematian anaknya menjadi tular sehingga mendapat perhatian orang ramai.

"Kerana kes ini tidak mendapat penjelasan apa yang patutnya dimaklumkan kepada saya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved