
Kota Kinabalu: IBU kepada Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa wang RM10,000 yang diberikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kepadanya adalah sumbangan amal dan bukan sebahagian daripada kempen Justice for Zara (JFZ).
Noraidah Lamat berkata wang itu diberikan sebagai “Sedekah Amal Jariah” dan tidak mempunyai kaitan dengan kempen kutipan dana di seluruh negara yang didakwa dijalankan di bawah JFZ.
Beliau memberi keterangan ketika disoal peguam Datuk Ram Singh yang bertanyakan mengenai kempen berkenaan serta dakwaan pempengaruh media sosial MonaDin berhubung sumbangan yang dikutip untuk kempen itu.
Noraidah berkata beliau tidak mengetahui mengenai kempen JFZ dan tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan mengenai aktiviti kutipan dana berkenaan.
Beliau turut berkata tidak mengenali Mona secara peribadi walaupun pernah mendengar namanya disebut di media sosial khususnya Facebook.
Ram kemudian merujuk kepada satu hantaran Facebook oleh Mona yang didakwa mendakwa bahawa selain sumbangan yang dikutip melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Marhamah, sumbangan JFZ turut dimasukkan secara langsung ke dalam akaun bank Noraidah.
Hantaran itu dilaporkan menyatakan bahawa Maszlee menyumbang RM10,000 melalui Mona sebagai orang tengah.
Noraidah berkata akaun berkenaan dibuka kerana ramai orang mahu memberikan sumbangan atau derma kepadanya ketika itu.
Ketika ditanya sama ada dakwaan Mona itu benar atau palsu, beliau berkata tidak mengetahui maksud Mona dan tidak dapat memberikan komen.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak menyaman Mona, Noraidah berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan tidak mengenali wanita berkenaan.
Ram turut bertanya sama ada Noraidah mengetahui pihak yang membiayai papan iklan “Justice for Zara” yang dipasang di beberapa daerah di seluruh Sabah.
Noraidah berkata beliau pernah melihat papan iklan itu dan menyedari orang ramai mengambil gambar bersama papan iklan berkenaan sebelum berkongsi gambar tersebut di Facebook.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak pernah dimaklumkan mengenai pihak yang membayar kos papan iklan itu atau bila ia dipasang.
Beliau turut berkata tidak mengetahui sama ada sumbangan yang dirujuk Ram itu diberikan secara sukarela kerana tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.






