Zara Qairina tidak pernah cerita kepada ibu insiden 'spot check', dituduh curi wang

12 Oct 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zara Qairina tidak pernah cerita kepada ibu insiden 'spot check', dituduh curi wang
Ibu Zara Qairina memberitahu Mahkamah Koroner beliau tidak mengetahui dakwaan pemeriksaan mengejut di kelas anaknya dan tidak pernah menerima aduan bahawa anaknya seorang pembuli.

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia tidak mengetahui mengenai insiden pemeriksaan mengejut (spot check) yang berlaku di kelas anaknya pada 14 Julai 2025.

Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-82 berkata, dia hanya mengetahui perkara itu selepas prosiding inkues kematian anaknya bermula menerusi kenyataan yang disediakan oleh peguam keluarganya.

"Saya mengetahui perkara itu ketika prosiding inkues sudah bermula dan saya membaca melalui kenyataan yang disediakan oleh peguam, peguam keluarga kami maksud saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai kejadian pemeriksaan mengejut di kelas kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 14 Julai tahun lalu, apabila seorang pelajar didakwa menuduh Zara Qairina mengambil wang RM20 daripada dompetnya.

Dalam pertanyaan itu, Amir Shah turut merujuk kepada dua lagi rakan Allahyarham yang dikatakan turut membuat dakwaan berkenaan.

Koroner kemudian bertanya kepada Noraidah sama ada Zara Qairina ada menceritakan kejadian tersebut ketika menghubunginya buat kali terakhir pada malam yang sama, kira-kira jam 8.53 malam.

"Tidak ada," jawab Noraidah ketika mengesahkan anaknya tidak pernah menceritakan mengenai pemeriksaan mengejut berkenaan.

Amir Shah turut merujuk kepada keterangan pelajar A sebelum ini yang memberitahu seorang guru bahawa dia juga pernah kehilangan wang dan mengesyaki Zara Qairina berhubung kejadian itu.

Ketika ditanya sama ada anaknya pernah menceritakan mengenai perkara tersebut dalam perbualan telefon mereka pada malam berkenaan, Noraidah sekali lagi menjawab tidak ada.

Dalam prosiding sama, Amir Shah turut membangkitkan keterangan ibu pelajar A sebelum ini yang menyatakan anaknya pernah mengadu sejak 18 April 2025 bahawa dia dibuli oleh ahli dorm, terutama Zara Qairina dan rakan-rakannya.

Bagaimanapun, Noraidah menjelaskan bahawa aduan yang pernah diterimanya daripada Zara Qairina adalah berhubung tindakan pelajar senior Tingkatan Empat yang didakwa mengejek dan mengajuk cara percakapannya.

"Saya pernah mendengar aduan Zara kepada saya, tetapi itu melibatkan senior Tingkatan Empat yang menggelar dia dan mengajuk-ajuk bahasa dia.

"Antara ayatnya begini, 'nanti dia report tu kepada bonda, eh bonda, hello bonda, bonda' begitu yang dia ceritakan kepada saya," katanya.

Noraidah bagaimanapun mengakui tidak pasti identiti pelajar senior terbabit, selain memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah menerima sebarang aduan daripada guru, rakan sekolah atau mana-mana pihak yang mengatakan Zara Qairina seorang pembuli.

"Tidak pernah," katanya ketika menjawab pertanyaan Koroner mengenai perkara itu.

Beliau turut memberikan jawapan sama apabila ditanya sama ada pernah menerima aduan daripada ibu bapa, guru atau rakan sekolah bahawa Zara Qairina suka mengambil barang milik orang lain tanpa kebenaran.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved