
KOTA KINABALU -Kakak kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner, di sini hari ini bahawa dia mengalami tekanan emosi yang didakwanya akibat cara ibu tiri melayan dan bercakap dengannya.
Malianah Mahathir, 25, berkata, dia tinggal bersama bapa kandung, Mahathir Mohd. Hashim, dan ibu tiri, Noraidah Lamat selama kira-kira tujuh bulan dari penghujung 2011 sehingga Jun 2012.
“Sepanjang masa itu, saya berasa tidak seronok dan tidak gembira,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Wanita yang sudah berkahwin dan kini menetap di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor itu, memberitahu, dia mula mengenali Noraidah pada 2011 apabila bapanya memberitahu akan mengahwini wanita itu.
“Bapa saya memberitahu bahawa ibu tiri saya belum pernah berkahwin, tetapi bersedia menerima kami sebagai anaknya dan mahu menjaga kami,” katanya.
Saksi ke-81 itu memaklumkan, ibu tirinya melayannya dengan baik ketika bapanya di rumah, termasuk membantu memenuhi keperluan dan kerja sekolahnya.
Bagaimanapun dakwanya, layanan itu berubah setiap kali bapanya keluar bekerja untuk beberapa hari.
Katanya, sepanjang masa tinggal bersama, ibu tirinya pandai berpura-pura dengan melayannya dengan baik apabila bapanya ada bersama.
“Bila bapa keluar bekerja sebagai pemandu di Sabah Oil & Gas Kimanis, sikapnya akan berubah dan tidak menyukai saya,” katanya.
Menurut Malianah, apabila bapanya tiada di rumah, dia terpaksa memasak untuk diri sendiri, membasuh pakaian termasuk pakaian seragam sekolah serta menyediakan kelengkapan sekolah sendiri.
Dia turut mendakwa, ibu tirinya sering mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya menyebabkan dia mengalami tekanan emosi.
Katanya, apabila bapa berada di rumah, dia tidur di ruang tamu beralaskan tilam yang nipis.
“Sebaliknya bila bapa tiada di rumah kerana bekerja, ibu tiri akan suruh saya tidur di dapur berhadapan tandas, walaupun rumah itu ada sebuah lagi bilik tidur yang kosong,” dakwanya.
Malianah berkata, Zara Qairina dilahirkan pada 2013 selepas dia tidak lagi tinggal bersama bapa dan ibu tirinya itu dan mendakwa tidak pernah bertemu atau berhubung dengan adiknya itu.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ibu tirinya adalah melalui Facebook pada 2019 untuk bertanyakan keberadaan bapanya.
Ibu tirinya kemudian memberikan nombor telefon bapa kepadanya.
Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, keesokannya.
The post Inkues Zara Qairina: Kakak dakwa alami tekanan emosi tinggal bersama ibu tiri appeared first on Kosmo Online.





