Ibu Zara Qairina dijadual beri keterangan esok

6 Oct 2026 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu Zara Qairina dijadual beri keterangan esok
Noraidah dijadualkan memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada Rabu.

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat dijadualkan memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada Rabu, sebagai saksi ke-82 dalam inkues kematian anaknya itu.

Koroner Amir Shah Amir Hassan menetapkan prosiding inkues bersambung pada jam 9 pagi, dengan Noraidah dijangka tampil memberikan keterangan berhubung kematian Zara Qairina.

Sebelum itu, prosiding pada Selasa menyaksikan kakak tiri Zara Qairina, Malianah Mahathir, 25, tampil sebagai saksi ke-81 untuk memberikan keterangan di hadapan koroner.

Keterangan Malianah antara lain menyentuh pengalamannya berkaitan ibu Zara Qairina serta dakwaan beliau pernah didekati beberapa individu daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mempengaruhinya berhubung keterangannya dalam inkues.

Inkues kematian Zara Qairina sebelum ini telah mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak dan pakar serta individu berkaitan dengan remaja tersebut.

Noraidah diwakili pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Prosiding inkues dikendalikan pasukan pendakwaan negeri Sabah iaitu Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan bawah asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved