Kakak tiri Zara Qairina dedah tangkap layar pertikaian dengan ibu tiri

6 Oct 2026 • 1:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kakak tiri Zara Qairina dedah tangkap layar pertikaian dengan ibu tiri
Zara Qairina

KOTA KINABALU - Saksi ke-81 prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan terdapat lima salinan tangkap layar perbualan menerusi mesej Facebook antara dirinya dan ibu tirinya, Noraidah Lamat.

Malianah Mahathir, 25, berkata, tangkap layar berkenaan dihantar oleh bapanya, Mahathir Mohd Hashim, selepas berlaku pertengkaran antara dia dan Noraidah menerusi Facebook ketika dia berusia 13 tahun.

Menurutnya, tangkap layar itu disimpan sehingga kini, manakala akaun Facebook miliknya dan akaun yang digunakan atas nama Zara sebelum ini diwujudkan serta diuruskan oleh bapanya.

"Bapa yang hantar screenshot kepada saya dan saya simpan sampai sekarang.

"Bapa hantar screenshot itu sebab dia tanya kenapa saya bergaduh dengan Mama Zara," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini pada Selasa.

Malianah berkata, perbualan dalam tangkap layar berkenaan berlaku secara bersambung pada beberapa tarikh berbeza, termasuk Jun, Ogos dan September, namun tahun kejadian tidak dapat dipastikannya.

Katanya, ketika itu dia tidak mempunyai gajet sendiri dan hanya mengakses akaun Facebook menggunakan peranti milik ahli keluarga apabila berpeluang.

"Saya tidak pasti tahun bila, tapi masa itu saya 13 tahun," katanya.

Sementara itu, ketika disoal peguam yang mewakili Noraidah, Shahlan Jufry, Malianah berkata, dia pasti perbualan berkenaan dihantar oleh Noraidah berdasarkan pengalamannya tinggal bersama wanita itu serta cara percakapannya ketika mereka berhubung sebelum ini.

"Saya pasti 100 peratus itu Ibu Zara sebab saya pernah tinggal bersama dengan dia dan perkataan 'anak haram' itu selalu keluar daripada mulutnya sewaktu saya tinggal bersama dia.

"Jadi saya sangat pasti ini dia," katanya.

Menurut Malianah, akaun Facebook yang digunakan dalam perbualan tersebut adalah akaun atas nama Zara Qairina yang diwujudkan oleh bapanya untuk memuat naik gambar Allahyarham ketika kecil.

Katanya, dia menjadi rakan Facebook kepada akaun berkenaan kerana mengetahui bapanya yang menguruskannya.

Malianah berkata, bapanya turut mewujudkan akaun Facebook miliknya dan menguruskan akaun media sosial keempat-empat anaknya.

"Adik-beradik saya empat orang, semua Facebook kami dibuat oleh bapa. Memang bapa yang buat Facebook kami untuk kami ada media sosial.

"Sebab bapa dulu selalu bawa kami berjalan, pergi bercuti. Jadi setiap kali bercuti, ada gambar dan bapa akan posting di Facebook kami untuk simpan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved