Inkues Zara Qairina: Saksi dedah suasana persekitaran asrama ramai tapi sunyi

LocalFamily & Parenting
14 Apr 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Inkues Zara Qairina: Saksi dedah suasana persekitaran asrama ramai tapi sunyi
Saksi mendedahkan persekitaran asrama ketika Allahyarhamah Zara Qairina (gambar kecil) ditemukan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari bangunan asrama dalam keadaan sunyi walaupun ada beberapa individu di lokasi.

KOTA KINABALU - Persekitaran asrama ketika Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari bangunan asrama dalam keadaan sunyi dan tidak riuh walaupun ada beberapa individu di lokasi.

Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-69, Penolong Pegawai Perubatan Mohd Faiszal Md Saimi semasa memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa.

Beliau yang bertugas di Klinik Kesihatan Kinarut, Papar, menceritakan keadaan itu semasa tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung seorang pelajar jatuh dari asrama.

"Apabila saya tiba di asrama perempuan, saya masuk ke dalam kawasan asrama kerana ada pagar, tetapi rakan sekerja (Herdie Reno) tunggu di ambulans dan menunggu arahan seterus, apabila saya perlu meminta peralatan, nanti dia akan bawakan ke dalam.

"Persekitaran sedikit gelap, tapi tidak riuh. Ramai orang tapi sunyi," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan peguam Clarice Vyonne Conrad semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina.

Ditanya lanjut bagaimana seorang guru perempuan tahu bahawa Zara Qairina jatuh dari tingkat tiga asrama tersebut berdasarkan penyataan saksinya, beliau memaklumkan tidak pasti mengenainya.

"Saya cuma ingat apa yang dikatakan (guru wanita tersebut). Tidak ada (diberitahu guru itu mendapat maklumat dari mana), dia cuma beritahu Zara jatuh dari tingkat tiga. Itu sahaja," jelasnya.

Katanya lagi, hanya guru dan seorang pelajar lain yang pergi ke dobi memaklumkan kepadanya apa yang berlaku.

Saksi turut ditanya jika ternampak sebarang pendarahan pada pakaian Zara Qairina.

"Saya tidak perasan tetapi macam tiada," jelasnya.

Beliau juga tidak menyedari jika ada sebarang perkara luar biasa atau mencurigakan di lokasi kerana lebih menumpukan kepada mangsa.

Sementara itu, semasa menjawab soalan yang dikemukakan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, saksi turut diminta menceritakan semula persekitaran semasa tiba di lokasi.

"Di tempat yang pertama kali saya temui mangsa di tepi asrama tu memang agak gelap, tapi ada juga bantuan lampu suluh daripada pengawal keselamatan dan orang lain di lokasi.

"Tapi untuk pemeriksaan pada mata mangsa saya guna saya lampu suluh sendiri, tetapi keadaan di tepi memang gelap.

"Sebab lokasi mangsa betul-betul di tepi bangunan asrama, jadi tiada lampu di situ. Lampu di koridor, jadi kedudukan mangsa pada waktu itu bukan di koridor, di tepi. Di tepi bangunan yang di situ tiada lampu dan sebelah kanannya pula pagar besi," jelasnya.

Sebelum itu, Clarice bersama pasukan peguamnya iaitu Sherzali Herza Asli dan Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim.

Sementara itu, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat pula ialah Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Turut terlibat dalam prosiding itu ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A, selain Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan yang mewakili empat lagi pelajar.

Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.