‘Insaf saya. Sebak tak terkata’ - Air mata doktor iringi pendermaan tulang Muhammad Aidil

LocalHealth & Fitness
19 Nov 2026 • 11:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Insaf saya. Sebak tak terkata’ - Air mata doktor iringi pendermaan tulang Muhammad Aidil
Perkongsian Dr Syahr (kanan) bersama petugas lain yang mengendalikan pendermaan tulang Muhammad Aidil di HPUSM di akaun Facebook.

KOTA BHARU – Bergenang air mata seorang doktor ketika menguruskan pendermaan tulang Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, selepas menyedari pengorbanan pemuda itu berpotensi memberikan kehidupan lebih baik kepada puluhan pesakit lain.

Dr Syahr Musafir berkata, emosinya tidak dapat dibendung ketika berada di dewan bedah pada Khamis apabila menghayati amanah besar untuk memastikan tulang yang didermakan arwah diambil, dijaga dan diuruskan dengan sebaik-baiknya sebelum digunakan bagi merawat pesakit lain.

"Pendermaan itu bukan sekadar prosedur perubatan, sebaliknya amanah daripada arwah, keluarga penderma, anggota pasukan perubatan serta ALLAH SWT yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Arwah dermakan tulang. Amanah untuk kita ambil dengan baik. Amanah untuk kita kembalikan arwah dengan baik. Amanah untuk kita pastikan tulang-tulang ini dijaga dan akhirnya nanti boleh digunakan untuk merawat para pesakit lain dengan baik. Semua ini amanah," tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Perkongsian itu mendapat 2,800 tanda suka dan dikongsi sebanyak 372 kali oleh pengguna laman sosial berkenaan.

Dr Syahr berkata, dia berulang kali mengingatkan dirinya supaya melaksanakan tugas itu sebaik mungkin kerana sumbangan Allahyarham berpotensi membantu puluhan pesakit menikmati kehidupan lebih baik.

Ujarnya, meskipun berdepan keletihan dan tidak mengambil makanan sejak pagi, beliau tetap memperoleh kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

"Berada dalam dewan bedah pagi-pagian hari ini pun rasa lain, mata tak kering. Badan tak makan apa-apa sejak pagi tetapi hingga tengah hari pun tak rasa apa. Entah dari mana datang kekuatannya," katanya.

Menurut beliau, arwah sebelum ini turut mendermakan organ dan tisu termasuk buah pinggang, paru-paru, hati serta kornea mata yang sudah membantu ramai penerima.

"Tulang-tulang ini pun, berpuluh orang yang akan dapat hidup lebih baik kerana jasa baik arwah.

"Insaf saya. Sebak tak terkata," katanya.

Dr Syahr turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham, termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya, yang membenarkan serta meredai pendermaan berkenaan.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai insan mulia kerana masih meneruskan peranan membantu orang lain meskipun sudah meninggal dunia.

Dr Syahr berharap Allahyarham mendapat ganjaran syurga atas pengorbanan yang dilakukan, selain mendoakan semua pihak yang terlibat dalam urusan pendermaan itu turut mendapat rahmat ALLAH SWT.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved