
KUALA LUMPUR: Kisah seorang individu dikenali sebagai Muhammad Aidil Bin Zupardi yang menyelamatkan 10 nyawa menerusi pendermaan organ mengundang sebak selepas perkongsian mengenai penghormatan terakhir buatnya tular di Threads.
Perkongsian pengguna Threads, @syasylvie, memaparkan suasana petugas hospital dan orang ramai memberikan penghormatan menerusi upacara Walk of Honour sebagai tanda mengenang jasa Allahyarham.
Menerusi ruangan komen, pemilik hantaran memperkenalkan Allahyarham sebagai sahabatnya, Muhammad Aidil Bin Zupardi.
“Walk of honour for Aidil, terima kasih telah selamatkan 10 nyawa lain. Semoga syurga buatmu sahabat,” tulisnya.
Rakan Titip Penghargaan Buat Aidil
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
Menjawab komen seorang pengguna, pemilik hantaran menyifatkan Aidil sebagai individu yang baik sehingga ramai menyayanginya.
Dia turut membalas beberapa ucapan takziah dengan harapan agar Allahyarham mendapat tempat terbaik di sisi-Nya.
Salah Seorang Penerima Organ Turut Disebut
Antara komen yang menarik perhatian ialah perkongsian seorang pengguna yang memaklumkan anaknya berusia 11 bulan menghidap biliary atresia dan bakal menjalani pembedahan selepas menerima berita mengenai penderma organ.
Pengguna tersebut turut menyebut bahawa mereka sedang dalam perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur bagi urusan berkenaan.
Membalas komen itu, pemilik hantaran menyatakan bahawa kanak-kanak berkenaan merupakan antara insan yang bakal mendapat manfaat daripada pendermaan organ Aidil.
Sumbangan Aidil menerusi pendermaan organ memberi peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan, sekali gus meninggalkan kenangan besar buat keluarga, rakan-rakan dan mereka yang menerima manfaat daripadanya. – The Malaysian Update
The post Aidil Terima Penghormatan Walk Of Honour, Selamatkan 10 Nyawa Menerusi Pendermaan Organ appeared first on The Malaysian Update.






![[VIDEO] ‘Pasar malam Meru naik air, sabar wahai peniaga’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-18-at-5.45.03-PM-1024x768.jpeg)