
Kisah pendermaan organ seorang pemuda berusia 23 tahun, Allahyarham Muhammad Aidil tular di media sosial dan meraih perhatian ramai
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di Padang Tembak, Kelantan.
Lebih memilukan, Allahyarham dikatakan baru sahaja membeli burger untuk kedua-dua ibu bapanya sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Di sebalik kisah pendermaan organ tersebut, kakak Allahyarham Siti Hawa Najwa tampil berkongsi detik-detik terakhir adiknya sebelum pemergiannya menerusi temu bual bersama Kelantan FM.
Menurutnya, ibu bapa mereka sempat mendengar bunyi motosikal Allahyarham yang semakin menghampiri rumah sebelum bunyi berkenaan tiba-tiba terhenti, disusuli dentuman kuat.
“Arwah baru lepas beli burger untuk mak ayah kami. Mak ayah dengar bunyi motosikalnya dalam jarak 100 meter, tiba-tiba diam. Rupanya bunyi dentuman kemalangan.
“Orang datang ke rumah, mak dengan ayah baru makan burger itu separuh, tak habis lagi. Mak ayah terus bergegas ke sana,” katanya.
Difahamkan, kemalangan tersebut berlaku berhampiran sebuah kilang di kawasan Padang Tembak, tidak jauh dari kediaman keluarga mangsa.
Dalam pada itu, kakak Allahyarham memaklumkan keluarganya mengambil keputusan untuk mendermakan organ Muhammad Aidil bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.
Menurutnya, proses pembedahan bagi tujuan pendermaan organ bermula kira-kira pukul 1 pagi, dengan keluarga bersetuju mendermakan organ Allahyarham kecuali kulit dan jantung.
“Alhamdulillah, pembedahan semuanya dah selesai kecuali mata dan tulang. Organ-organ yang lain sudah dibawa menaiki helikopter untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
“Sekarang kami sedang menunggu perkembangan daripada doktor untuk pembedahan terakhir,” jelasnya.
Tambahnya, doktor turut memaklumkan bahawa keadaan Allahyarham merupakan antara kes yang jarang berlaku, apabila fungsi otaknya terhenti terlebih dahulu sedangkan organ lain masih berada dalam keadaan baik.
Katanya, Muhammad Aidil sememangnya seorang yang sangat menjaga kesihatan, termasuk mengamalkan pemakanan seimbang, mengira pengambilan kalori harian dan tidak merokok.
“Dia seorang yang menjaga pemakanan. Dia berdiet, kira kalori setiap hari. Jadi kami tahu organ dia dalam keadaan yang baik, insya-Allah,” katanya.
The post Di sebalik kisah derma organ Muhammad Aidil, kakak kongsi detik terakhir adik appeared first on The Reporter.






![[VIDEO] Hasrat terakhir derma organ, pemergian pesara MPOB diiringi penuh sebak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-16-at-12.29.12-PM-1024x766.jpeg)