Insentif cukai galak lebih banyak sokongan untuk i-FB

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Insentif cukai galak lebih banyak sokongan untuk i-FB

Kota Kinabalu: Kerajaan bersetuju memperkenalkan potongan cukai khas kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030, bagi memperluas penyertaan sektor swasta dan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata insentif berkenaan adalah antara 44 langkah insentif cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, hasil penerimaan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan (MOF) atas penerimaan cadangan berkenaan yang dijangka menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyumbang kepada pelaksanaan i-FB.

Menurutnya, insentif itu selari dengan usaha memperkukuh ekosistem bank makanan melalui kerjasama bersepadu membabitkan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Potongan cukai khas ini menjadi antara galakan dan pengiktirafan untuk memperluas penyertaan rakan strategik termasuk melalui sumbangan makanan, peralatan dan sokongan operasi yang diperlukan bagi memperkukuh pelaksanaan i-FB.

“Butiran terperinci mengenai mekanisme pelaksanaannya akan diselaraskan bersama MOF,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Universiti Malaysia Sabah (UMS) Alumni Homecomingand Fundraising Dinner 2026 yang menghimpun 400 alumni, di sini pada Sabtu.

Armizan berkata inisiatif i-FB adalah antara ikhtiar kerajaan menangani kos sara hidup menerusi pendekatan seluruh negara dengan Bahagian Kos Sara Hidup KPDN bertindak sebagai urus setia.

Katanya, pelaksanaannya berteraskan pendekatan 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, yang menggabungkan usaha membantu golongan memerlukan dengan mengurangkan pembaziran makanan serta melindungi alam sekitar.

Terdahulu, Armizan turut menyampaikan geran i-FB kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMS bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif itu di institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Menurutnya, geran berkenaan akan digunakan untuk menyediakan peralatan serta ruang khusus i-FB di kampus bagi memudahkan pengurusan penerimaan, penyimpanan dan pengagihan sumbangan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.

Katanya, kerjasama rakan strategik, termasuk sektor korporat dan pertubuhan sukarela, diyakini mampu memperkukuh keberkesanan i-FB dalam meringankan beban kos sara hidup golongan sasaran.

“Melalui penglibatan lebih menyeluruh, i-FB berpotensi menjadi pemangkin kepada budaya berkongsi rezeki, di samping memastikan lebihan makanan dapat dimanfaatkan dan tidak berakhir sebagai sisa,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved