
SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 127 jemaah haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima Insentif Haji Muassasah Selangor 2025 bernilai RM1,000.
Wakil rakyat DUN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu diharap dapat membantu menampung perbelanjaan penerima selepas selesai menunaikan ibadah haji.
“Sebelum ini sumbangan RM500, kini Kerajaan Negeri naikkan kepada RM1,000. Diharap dapat membantu perbelanjaan jemaah selepas balik daripada menunaikan ibadah haji. Alhamdulillah semua jemaah DUN Kota Anggerik pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian Insentif Haji Muassasah MBI-DUN Kota Anggerik 2025 di masjid negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, penerima Abu Hassan Darusman, 58, berkata sumbangan itu ibarat rezeki berganda buat beliau dan lima anaknya yang dapat menunaikan ibadah haji sekeluarga tahun ini.
“Bantuan RM1,000 ini sangat bermakna bagi kami. Anak-anak pun ada yang masih belajar, jadi masuk semester nanti boleh guna duit itu untuk bayar yuran dan sebagainya.
“Kami amat bersyukur dapat sumbangan sebanyak RM1,000 seorang, rezeki kami anak-beranak. Kami tahu mengenai program ini dari aplikasi whatsapp, permohonan mudah, kelulusan juga mudah,” katanya.
Permohonan insentif yang menyasarkan 6,000 jemaah menerusi peruntukan RM6 juta tahun ini, masih dibuka sehingga 25 Julai ini. Jemaah boleh memohon menerusi pusat khidmat DUN atau penyelaras DUN.
Pada tahun lepas, nilai insentif dinaikkan kepada RM1,000 yang memanfaatkan 6,000 penerima. Berbanding 2022 dan 2023, hanya 3,000 jemaah haji menerima sumbangan RM500 setiap tahun daripada Kerajaan Negeri.






The post Insentif haji RM1,000, seramai 127 jemaah DUN Kota Anggerik terima manfaat appeared first on Selangorkini.


