Insentif wang tunai kekal untuk pemenang pingat

29 Jul 2026 • 10:07 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Insentif wang tunai kekal untuk pemenang pingat

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah menyediakan insentif tunai RM10,000 kepada setiap atlet negeri yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 di Selangor bulan hadapan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pemenang pingat perak dan gangsa pula masing-masing akan menerima insentif RM3,000 dan RM2,000.

“Jadi kita berharap semua akan berebut-rebut mendapat insentif RM10,000 daripada kerajaan negeri dengan mendapatkan emas bagi kontinjen Sabah.

“Harapan saya amat tinggi agar semua pegawai dan atlet dapat menunjukkan prestasi terbaik, berdisiplin, memiliki semangat patriotik yang tinggi serta menjaga nama baik Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kontinjen Sabah ke Sukma dan Para Sukma, di sini pada Selasa.

Beliau berkata kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada temasya Sukma yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, melebihi rekod terbaik negeri sebanyak 33 emas pada edisi 2018 di Perak.

Nizam berkata persiapan atlet bermula selepas penganjuran Sukan Sabah (Saga) pada Oktober tahun lepas dengan Majlis Sukan Negeri Sabah mengenal pasti dan menyenaraikan atlet berpotensi untuk menjalani latihan serta menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.

“Pada Julai ini kita telah menyenarai pendek, kita percaya setelah kita membuat perbandingan dengan pencapaian yang lalu, Insya-Allah kita akan dapat mencapai sasaran 40 pingat emas dengan atlet-atlet yang ada masih muda,” katanya.

Sabah akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan menerusi 744 atlet, terdiri daripada 385 lelaki dan 359 wanita.

Bagi Para Sukma yang dijadualkan dari 5 hingga 11 Sept, Sabah akan mengambil bahagian dalam kesemua 10 acara dengan penyertaan 154 atlet dan 117 pegawai serta menyasarkan 66 pingat emas.

Beliau berkata kadar insentif sama turut diberikan kepada atlet Para Sukma yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada temasya berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved