Insentif sama atlet SUKMA, Para SUKMA naikkan motivasi emas

27 Jul 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Insentif sama atlet SUKMA, Para SUKMA naikkan motivasi emas

SHAH ALAM, 27 JULAI: Penyeragaman insentif kemenangan antara atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA mampu meningkatkan motivasi atlet untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (MTOS) Selangor Danial Al-Rashid berkata pengumuman awal dibuat Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari itu satu perkembangan baik dan mencerminkan komitmen negeri terhadap prinsip kesaksamaan antara atlet.

"Pada Para SUKMA di Sarawak dua tahun lalu, atlet tidak tahu jumlah insentif yang akan diterima. Hanya selepas pulang barulah ia diumumkan.

“Maksudnya kalau kita pergi tanpa tahu berapa jumlah insentif itu, mungkin kita punya motivasi tak berapa tinggi tetapi sekarang apabila diumumkan serentak, saya ingat itu satu perkembangan baik yang mana ia diumumkan lebih awal dan diseragamkan sekali gus.

“Sekurang-kurangnya atlet biasa dan juga atlet para kita sudah maklum siap-siap tentang ini. Tetapi sebenarnya tidaklah menjadikan apa jua insentif atau wang ringgit sebagai tujuan utama sebab atlet-atlet kita semua ada motivasinya sendiri nak menyumbang kepada pingat untuk menang,” katanya kepada Media Selangor.

Danial berkata beliau turut mendapatkan perkembangan semasa atlet para daripada Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor Lim Yi Wei.

"Setakat ini persiapan atlet para berada di landasan yang baik," katanya.

Beliau yang juga bapa angkat sukan bola sepak dan sepak takraw berkata kedua-dua pasukan kini giat menjalani latihan bagi menghadapi temasya itu.

"Kami menyasarkan sebanyak mungkin pingat emas. Persiapan bola sepak dan sepak takraw berada pada tahap terbaik dengan latihan serta kemudahan yang lengkap," katanya.

Baru-baru ini, Amirudin mengumumkan atlet Selangor yang memenangi pingat emas akan menerima insentif antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut kategori sekiranya negeri itu muncul juara keseluruhan SUKMA.

Atlet acara individu dan berpasukan tiga orang akan menerima RM15,000 seorang, manakala atlet berpasukan bawah 10 orang menerima RM10,000 seorang dan pasukan melebihi 10 orang menerima RM7,000 seorang.

Seramai 1,029 atlet dan pegawai akan mewakili Selangor pada SUKMA yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA melibatkan 258 atlet dan pegawai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved