
LANGKAWI – Insiden feri terkandas disebabkan pukat nelayan dilabuhkan di alur pelayaran feri dikhuatiri menjejaskan imej pelancongan pulau peranginan ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya meminta nelayan memberikan kerjasama dengan memastikan aktiviti menangkap ikan, memasang pukat, melabuhkan bot atau menjalankan sebarang kegiatan perikanan tidak menghalang laluan pelayaran utama.
“Kami menghormati nelayan yang mencari rezeki di laut, namun pada masa sama kami memikul amanah membawa ratusan nyawa dalam setiap perjalanan.
“Keselamatan pelayaran bukan hanya tanggungjawab pengusaha feri, tetapi tanggungjawab bersama seluruh komuniti maritim,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, apabila perkhidmatan feri terganggu, kesannya bukan sahaja kepada penumpang dan pengusaha, malah kepada ekonomi Langkawi serta imej industri pelancongan Malaysia di mata dunia.
Pihaknya juga berharap agar kerjasama lebih menyeluruh dapat diperkukuhkan antara Jabatan Laut (JLM), Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan, persatuan nelayan serta pihak berkepentingan lain.
Beliau turut mencadangkan pemantauan aktiviti perikanan di alur pelayaran utama, memaklumkan kawasan yang perlu dielakkan oleh bot nelayan, mengadakan sesi penerangan keselamatan dan memperkukuh komunikasi antara komuniti nelayan dengan pengendali feri. – KOSMO! ONLINE
The post Insiden feri kandas bahayakan penumpang, jejas pelancongan appeared first on Kosmo Online.




