
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam, media melaporkan seorang pegawai polis berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan seorang guru wanita maut dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.
Mangsa, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41 yang memandu Toyota Vios serta seorang cikgu dari Kolej Vokasional Gerik, Zuraida Abu Bakar, 47, yang menaiki Honda Odyssey maut di lokasi kejadian selepas kedua-dua kenderaan itu bertembung.
Kereta Toyota Vios Hilang Kawalan Lalu Masuk Ke Laluan Bertentangan
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, hasil siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu Melvindar dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan.
Kesan daripada itu, Toyota Vios yang sedang dalam perjalanan dari Gerik menghala ke arah Kuala Kangsar telah masuk ke laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan Toyota Vios itu bertembung dengan Honda Odyssey yang dinaiki enam guru wanita yang dalam perjalanan menghala ke Gerik,” jelasnya.
Honda Odyssey Dinaiki 6 Guru, Guru Yang Maut Adalah Salah Seorang Penumpang
Sewaktu kejadian, Honda Odyssey terbabit dinaiki enam orang guru yang berusia 29 hingga 55 tahun serta dipandu oleh seorang guru wanita yang berusia 44 tahun manakala, Zuraida pula berada di tempat duduk belakang.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang penumpang wanita yang berada di bahagian belakang Honda Odyssey turut meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi kejadian,” katanya.
Jelas Abdul Samad, lima mangsa yang lain turut cedera dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong dan Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan.
Manakala, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Guru Baru Pulang Dari Kursus, Bomba Dedah Ada Mangsa Tersepit Di Kedua-Dua Kenderaan
Memetik Sinar Harian, Zuraida bersama lima lagi warga pendidik yang menaiki MPV tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang ke Gerik selepas menghadiri kursus di Lenggong.
Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan kira-kira jam 4.57 petang.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, terdapat mangsa yang tersepit di kedua-dua kenderaan sebaik mereka tiba di lokasi.
Jelasnya, ketua operasi kemudiannya melaksanakan penilaian situasi sebelum anggota diarahkan untuk menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik sehingga kesemua mangsa berjaya diselamatkan.
Operasi yang disertai oleh lima anggota bomba itu tamat kira-kira jam 6.12 petang.
Baca Artikel Berkaitan: Tak Sempat Hadiri Kursus Di KL, 3 Rakan Sekerja Maut Terbabit Kemalangan
Baca Artikel Berkaitan: Kereta Baru Keluar Kedai, 6 Sekeluarga Maut Selepas Proton X50 Bertembung Lori




