
SEPANG - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, masih bertugas seperti biasa, selagi tiada arahan baharu mengenai kedudukannya.
Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad, berkata tiada arahan setakat ini yang menghalang anak guamnya daripada terus menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
“Buat masa ini, selagi tiada arahan dikeluarkan, beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.
Menurut Rosal, perkara berkaitan kedudukan Mohd Shuhaily dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa pentadbiran yang berkenaan.
Dalam prosiding sama, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, iaitu RM1,500 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.
Jumlah jaminan itu lebih rendah daripada RM10,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan, bersamaan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Rosal berkata, urusan jaminan telah selesai dan mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan kes seterusnya.
Pihak pembelaan juga sedang menunggu penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. - Getaran, 21 Oktober 2026






