Mohd Shuhaily jaga sempadan, tidak perlu bayar ikat jamin - Peguam

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 2:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mohd Shuhaily jaga sempadan, tidak perlu bayar ikat jamin - Peguam
Mohd Shuhaily ketika hadi rke Mahkamah Masjitret Sepang pada Rabu. - FOTO: Rosli Talib

SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain wajar dilepaskan dengan bon peribadi tanpa perlu membayar wang ikat jamin di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Peguam, Kitson Foong berkata, anak guamnya berstatus Orang Kena Saman (OKS) wajar dilepaskan dengan jaminan bon peribadi, bukannya melalui ikat jamin.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengenakan ikat jamin dengan seorang penjamin, jumlah RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan dianggap sebagai munasabah.

Peguam tersebut memohon mahkamah agar tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Mohd Shuhaily termasuk menyerahkan pasport atau melapor diri di balai polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Shuhaily dibarisi sembilan peguam kes berprofil tinggi

“Anak guam telah berkhidmat selama 26 tahun, pernah berkhidmat sebagai ‘atase’ polis di Washington DC.

Atase ialah pegawai yang ditugaskan kepada staf kedutaan, misi diplomatik atau agensi Kerajaan.

“Beliau juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum menerajui AKPS.

“Mohd Shuhaily sama sekali tidak berisiko untuk melarikan diri malah beliau merupakan individu yang menjaga sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kitson turut memohon supaya Mohd Shuhaily dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes berkenaan.

Katanya, anak guam berjanji untuk mengikuti semua prosiding semasa perbicaraan kelak.

Selain Kitson, OKS turut diwakili peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Badruzzaman Ishak.

Yaacob juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya kemudian berkata, perintah bon sudah mencukupi bagi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah memandangkan kesalahan itu termasuk dalam pertuduhan yang boleh dijamin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Katanya, jumlah itu disifatkan munasabah namun menyerahkan budi bicara mahkamah berhubung permohonan pengecualian kehadiran Mohd Shuhaily di sepanjang pengurusan kes.

“Kami hanya meminta tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret, Khairatul Animah membenarkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan supaya Mohd Shuhaily dikecualikan kehadiran semasa pengurusan kes praperbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 November depan.

Pada 28 September lalu, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di lokasi kejadian.

Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan.

Semasa sidang akhbar, beliau tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan berharap lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25 dan Mohamad Faiz Saman, 40, di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari 28 pada September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved