
SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dibenarkan diikat jamin RM3,000 selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Mohd. Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Shuhaily diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran beliau dikecualikan bagi setiap prosiding akan datang.
Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Insiden KLIA: Shuhaily dikenakan ikat jamin RM3,000 appeared first on Kosmo Online.





