Insiden letupan bumbung kereta bermotif skandal

2 Mar 2023 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecill: Hussein)

SHAH ALAM - Hubungan skandal bersama wanita lain dipercayai punca insiden letupan sehingga menyebabkan bumbung sebuah kereta berlubang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah dekat Padang Jawa, 17 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berkaitan isu peribadi.

"Motif disyaki kerana mangsa itu ada affair (hubungan) dengan seorang wanita.

"Kes masih dalam siasatan dan setakat ini kita masih dalam tindakan mengumpul keterangan yang cukup untuk tangkapan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, kereta jenis Perodua Myvi berwarna kuning yang diparkir di hadapan rumah berlubang di bahagian bumbung dipercayai kesan gelombang letupan berikutan terdapat kesan lekukan besi (bumbung).

Bahan letupan berkenaan adalah jenis low explosive (serbuk belerang) dan teknik yang digunakan bagi menyebabkan letupan adalah teknik bakar kerana menjumpai sumbu dipercayai digunakan untuk memulakan letupan berkenaan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian berkenaan.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.