Insiden Murid Sekolah Dimarahi Guru: Polis Buka Kertas Siasatan

LocalPolitics
28 May 2025 • 9:44 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Dalam minggu ini, tular beberapa kisah membabitkan golongan pendidik. Antara yang paling mendapat perhatian adalah insiden seorang murid dimarahi oleh beberapa orang guru secara terbuka dipercayai di kantin sekolahnya.

Menerusi video yang sohor di media sosial, kelihatan murid perempuan itu diherdik oleh seorang guru sehingga mangsa menangis teresak-esak.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan merupakan anak kepada pempengaruh, Nur Mustika yang juga merupakan adik kepada Nur Sajat.

Ekoran itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Polis Buka Kertas Siasatan, Guru Turut Buat Laporan Nafi Terlibat

Terbaharu, polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan guru memarahi dan mengherdik seorang pelajar perempuan yang tular baru-baru ini.

Siasatan dijalankan terhadap kedua-dua belah pihak iaitu guru dalam video yang tular serta keluarga murid berkenaan yang didakwa menjadi mangsa bagi memastikan kebenaran tentang kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya juga ada menerima laporan daripada seorang guru berusia 40 tahun yang menafikan pembabitannya dalam insiden berkenaan.

“Wanita itu yang juga guru dari sebuah sekolah di Kajang menafikan pembabitan beliau dalam kejadian yang berlaku serta meminta siasatan lanjut dijalankan untuk mendapatkan kebenaran.

“Sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak ibu bapa atau mangsa bagi kejadian berkenaan,” katanya.

Siasatan Dijalankan Mengikut Lebih Dari 1 Seksyen

Jelas Naazron, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 di mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) yang membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Dalam masa yang sama, siasatan selari turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara selama setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, video kejadian tersebut dikongsikan sendiri oleh Mustika di Instagram miliknya.

Dakwa wanita itu, kejadian dipercayai berlaku pada 4 Mac lalu dan video itu dihantar sendiri oleh guru yang terlibat.

Mustika turut mendakwa bahawa guru terlibat sering kali mengelak daripada bertemu dengannya untuk membincangkan tentang perkara itu.

Malah, insiden tersebut turut mendapat perhatian penyanyi rap tanah air, Caprice yang turut berkongsikan video itu di Instagram miliknya.

~KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH KAJANG~ 27 Mei 2025 (Selasa) MAKLUMAN KES VIDEO TULAR DI HALAMAN MEDIA SOSIAL MENGENAI KEJADIAN SEORANG MURID SEKOLAH DIMARAHI, DIHERDIK OLEH GURU

Posted by Polis Daerah Kajang on Tuesday 27 May 2025

Baca Artikel Berkaitan:

Source: