Pelajar Jatuh Dari Bumbung Garaj: ‘Tiada Unsur Buli Dalam Kes’ - Polis

8 May 2026 • 9:01 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelajar Jatuh Dari Bumbung Garaj: ‘Tiada Unsur Buli Dalam Kes’ - Polis

KUALA LUMPUR - Polis menafikan wujud unsur buli dalam insiden melibatkan seorang murid lelaki yang terjatuh dari bumbung garaj basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, Melaka, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika pertukaran waktu kelas sedang berlangsung.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan murid Tahun Lima dipercayai telah membaling kasut milik rakannya sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sekolah.

“Mangsa kemudian bertindak memanjat bumbung berkenaan bagi mengambil semula kasut tersebut.

“Bagaimanapun, ketika cuba naik semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijaknya dipercayai pecah sebelum mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan.

Christopher berkata, mangsa diberikan rawatan kecemasan awal oleh pihak sekolah sebelum dihantar ke Hospital Melaka dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pakar Putra, Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pelajar itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami retak kecil pada buku lali kanan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut yang dijalankan bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi mendapati kejadian berkenaan berlaku akibat kemalangan sendiri.

“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penderaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa insiden,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan awam serta mengganggu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp sekeping gambar memaparkan ambulans Kementerian Kesihatan berada di kawasan sekolah berkenaan berserta dakwaan seorang murid Tahun Lima terjatuh dari koridor sekolah.

Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau dimaklumkan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada tindakan mangsa sendiri dan bukan disebabkan faktor lain.

Menurutnya, murid terbabit dipercayai mengambil kasut rakan, sebelum membalingnya ke atas bumbung sekolah. - Getaran, 8 Mei 2026