
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meningkatkan usaha penyelenggaraan semua pokok di sekitar ibu negara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kumpulan alam sekitar berkata, langkah itu amat penting, rentetan kejadian pokok tumbang yang kerap kali berlaku kebelakangan ini hingga mendatangkan kerosakan harta benda.
Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Datuk M. Ali berkata, banyak yang perlu dilakukan, mengambil kira cuaca buruk ketika ini.
“Perkara ini perlu ditangani secara holistik dengan mengambil kira semua faktor,” katanya.
Penduduk baru-baru ini digemparkan dengan siri insiden pokok tumbang setiap kali ribut melanda.
Pada 7 Mei lalu, seorang lelaki berusia 47 tahun maut apabila kenderaan dipandu ditimpa sebatang pokok besar di Jalan Sultan Ismail.
Kejadian itu turut mencederakan seorang pemuda berusia 26 tahun dan wanita warga emas dari Sweden.
Insiden terbabit menyebabkan 17 kenderaan yang kebetulan berada di lokasi juga mengalami kerosakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pokok berkenaan berada di bawah pemantauan Menara IMC dan diperiksa oleh arboris berdaftar dengan DBKL setiap dua tahun.
“Kadangkala pokok ini nampak sihat di bahagian luar, tapi dalamannya tidak. Kerana itu adalah penting untuk mewujudkan garis panduan yang teratur,” katanya.
Katanya, DBKL akan merangka garis panduan baharu berkaitan pengurusan pokok susulan kejadian.
M. Ali selanjutnya berkata, tiada perubahan lebih baik akan berlaku jika pemikiran dan sikap pihak berkuasa tempatan masih di takuk lama.
“Kami memang yakin keadaan ini berlaku kerana perancangan yang buruk.
“Sikap bertanggungjawab, pemantauan dan disiplin ialah faktor utama yang diperlukan untuk alam sekitar yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman berkata, lebih banyak pendekatan proaktif diperlukan oleh pihak berkuasa.
“Majlis perbandaran perlu menangani perubahan iklim dengan lebih serius dan mengambil kira faktor ini dalam setiap perancangan atau tindakan.
“Perubahan iklim ini perlu difahami sepenuhnya, begitu juga risiko dan bahaya yang ada,” katanya. - The Vibes, 3 Jun 2024
