Insiden tulisan kalimah ALLAH di tokong: Suspek lelaki ditahan

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian mengenai tokong tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim di Pantai Siring.

JASIN - Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tulisan kalimah ALLAH dan bismillahirrahmanirrahim pada sebuah tokong di Pantai Siring di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, suspek berusia 39 tahun dan dipercayai sakit mental itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam.

"Bagaimanapun, lelaki itu telah diberikan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap tapak berkenaan yang dibina di kawasan tanah rizab kerajaan dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas semua bahan berkaitan aktiviti keagamaan dikeluarkan oleh pihak terlibat seperti yang dipersetujui.

"Perkara ini diputuskan hasil perbincangan antara wakil pemilik tanah, pemilik bangunan serta agensi terlibat yang diadakan semalam dan hari ini kita dapat sahkan semua bahan sembahan telah dikeluarkan sendiri oleh pihak berkenaan, sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Zaidi berkata, pelaksanaan tindakan itu turut disaksikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan ia berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa diarahkan menjalankan siasatan terhadap penemuan kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di sebuah tokong di kawasan sama. - Bernama