Tempoh sehari kosongkan tokong tertera kalimah ALLAH sebelum diroboh

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zaidi (dua kiri) meninjau lokasi. Foto Sinar Harian
image is not available
Penguat kuasa JAIM memadam kalimah ALLAH menggunakan cat pada dinding tokong berkenaan. Foto Sinar Harian
image is not available
Penguat kuasa JAIM memadam kalimah ALLAH menggunakan cat pada dinding tokong berkenaan. Foto Sinar Harian

JASIN - Operasi perobohan sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring yang tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim ditangguhkan bagi memberi laluan kepada proses pengosongan rumah ibadat berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, tempoh sehari diberikan kepada pemilik tokong berkenaan untuk mengalihkan bahan-bahan suci ke tempat penyembahan lain.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat rakan-rakan bukan Islam yang memaklumkan terdapat ritual tertentu melibatkan proses pemurnian atau penyucian yang perlu dihormati.

“Keputusan Exco bersama saya sebelum ini adalah untuk melaksanakan perobohan pada petang ini. Namun, selepas menerima nasihat daripada rakan-rakan bukan Islam mengenai keperluan ritual, kita menangguhkan proses tersebut.

**media[3486596]**

“Kita beri ruang kepada pemilik untuk mengambil bahan-bahan suci mereka dan memindahkannya ke tempat penyembahan lain. Selepas itu, barulah proses perobohan akan dilaksanakan,” katanya ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Beliau berkata, selepas proses itu selesai, pihak berkuasa akan menyusun tindakan bersama agensi terlibat bagi merobohkan struktur tidak berdaftar yang dibina di atas tanah kerajaan berhampiran Pantai Siring.

Mengulas isu contengan kalimah suci, Zaidi berkata, perbuatan itu bukan sahaja berlaku di rumah penyembahan berkenaan, malah turut dikesan di kawasan lain termasuk pagar dan tiang elektrik.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa telah mengenal pasti individu terlibat, yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

**media[3486597]**

“Walaupun perbuatannya mungkin dianggap biasa oleh individu tersebut, namun ia jelas menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu dalam isu melibatkan sensitiviti agama.

“Kita perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan serta menguruskan perkara ini dengan baik supaya keharmonian masyarakat dapat terus dipelihara khususnya di Melaka,” katanya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, binaan tokong batu tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di sini oleh pemancing yang bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, pada malam Rabu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan sedang mengesan seorang lelaki kurang siuman dikenali sebagai ‘Ucuk’ bagi membantu siasatan dalam kejadian

Maklumat awal daripada penduduk kampung memaklumkan mereka pernah melihat ‘Ucuk’ yang merupakan bekas pelajar tahfiz, menconteng tembok serta tiang elektrik dengan tulisan kalimah ‘ALLAH’.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan selain Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.