
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Polis kini sedang menyiasat insiden seorang wanita didakwa mempertikai tindakan anggotanya menahan penunggang motosikal warga Pakistan yang tiada lesen memandu.
Kejadian terbabit yang tular di media sosial dikatakan berlaku pada jam kira-kira 9.30 malam Selasa lalu (4 November)
Wanita terbabit dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ – Ketua Polis KL
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, wanita itu dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dan kejadian berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan Ipoh.
“Dalam kejadian itu, anggota polis yang bertugas telah menahan lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun yang bekerja di kedai pakaian itu kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
“Kemudian wanita terbabit didakwa telah datang menyerang dari arah belakang sambil menuduh anggota polis mengugut lelaki warga asing itu.
“Wanita itu juga menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekehkan tugasan pihak polis dalam kejadian itu dengan merakam perbuatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini (6 November) dipetik Malaysia Gazette.
Anggota terlibat sudah buat laporan, tindakan lanjut akan diambil
Tambah beliau, susulan itu, anggota bertugas yang terpalit dengan dakwaan berkenaan telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
“Kita masih menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
“Semakan lanjut mendapati, wanita terbabit iaitu Sheila Sharon merupakan pegawai polis telah ditahan kerja pada 23 Jun 2023,” katanya.
Menurutnya lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.


