
SEREMBAN: Kemenangan tiga daripada empat calon Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai pencapaian signifikan buat parti yang baharu ditubuhkan kira-kira dua bulan lalu.
Presidennya, Hamzah Zainuddin berkata, kejayaan itu membuktikan pengundi memberikan kepercayaan kepada calon-calon Wawasan untuk membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Katanya, kemenangan Ridzuan Ahmad di DUN Gemas amat membanggakan apabila meraih majoriti lebih 12,000 undi, meningkat berbanding lebih 3,000 undi pada penggal lalu.
“Selain itu, Razali Abu Samah berjaya menawan kerusi yang dianggap kubu kuat bekas Menteri Besar dengan majoriti 4,443 undi, manakala calon muda kami, Danni Rais menewaskan calon Parti Amanah Negara yang pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kejayaan ini melambangkan usaha kami adalah demi masa depan dan kepentingan seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Wawasan yang bertanding menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi tiga kerusi DUN iaitu Sikamat, Gemas dan Klawang.
Di DUN Sikamat, Razali memperoleh 15,052 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan, Nor Azman Mohamad serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Sementara itu, Ridzuan mencatat kemenangan besar di Gemas apabila memperoleh 16,153 undi, mengatasi Siti Aishah Seman daripada PH-PKR yang meraih 3,529 undi serta Azman Abdullah (Bersatu) dengan 1,012 undi.
Di Klawang pula, Danni memperoleh 5,310 undi untuk menewaskan Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah) yang mendapat 3,993 undi dan Muhammad Adib Musa (Bersatu) yang memperoleh 549 undi.
Hamzah berkata, Wawasan akan memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta melaksanakan amanah dan matlamat yang telah digariskan parti. – UTUSAN
The post Inspirasi kemenangan tiga calon Wawasan dalam PRN Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.





